.
Latest News

Yang Mana Satu Ek? Part 6A

Sunday, August 16, 2009 , Posted by sunnahmania at Sunday, August 16, 2009

FAYATTABI’UUNA AHSANAH: SATU KUPASAN METODOLOGI MEMILIH PENDAPAT PART IV


BAB 11: MENGENALPASTI KHILAF DALAM PERKARA FURU’ DAN USUL

Permasalahan seperti ini sering menjadi kekeliruan kebanyakkan orang terutama yang tidak ingin memahami agama ini dari 2 sumber utamanya yakni, Al-Qur’an dan Sunnah. Orang Islam pada zaman ini lebih cenderung dan terdidik untuk beriman dengan agama dengan hanya sekadar mendengar pandangan orang yang dianggap kononnya bertauliyyah tanpa bertanya hujjah dan dalil kepada mereka. Kesannya, ramai yang sering menyangka bahawa pendirian-pendirian mereka sangat tepat dan benar sedangkan hakikatnya tidak. Saya akan membincangkan hal ini mengikut beberapa subtopic seperti berikut:


a) Apa itu perkara usul?

Jika kita menelusuri kitab-kitab ulama’ yang besar dalam persoalan aqidah, kita akan dapati yang dimaksudkan dengan perkara usul adalah perkara yang melibatkan persoalan rukun Islam, rukun Iman dan Ihsan serta perbahasan-perbahasan aqidah yang dasar. Contoh kitab yang mengandung bab usul dalam Islam ialah ‘Al-Islam Usuluhu wa Mabaadi’uhu’ (Islam: Usulnya dan Prinsipnya) karangan Muhammad bin Abdullah bin Saleh As-Suhaim. Sesiapa yang memahami dan tersalah dalam masalah usul bererti dia mempunyai masalah pada aqidahnya. Dalam hal ini perkara usul boleh dibahagi kepada 2:

  • Perkara usul yang jika seseorang tidak memahami dan meyakininya secara benar dapat membawa kepada kekafiran seperti tidak mempercayai salah satu rukun Iman atau tidak beriktikad bahawa ALLAH yang menciptakan alam ini dan berkuasa ke atasnya.
  • Perkara usul yang jika seseorang tidak memahami dan meyakininya secara benar dapat menyebabkannya jatuh ke dalam golongan ahlul bid’ah (pereka agama) yang berisiko besar dihumban ke neraka ALLAH jika dia tidak bertaubat. Antaranya adalah seseorang yang salah memahami persoalan qadha’ dan qadar sehingga dia menganggap bahawa setiap perbuatannya adalah semata-mata kehendak ALLAH sehingga dia merasa tidak berdosa jika melakukan jenayah dan maksiat, maka orang ini dianggap Qadariyyah. Jabbariyyah pula yang sebaliknya. Mereka ini tidak dikafirkan secara langsung tetapi dianggap ahli bid’ah dan mereka berdosa dengan iktikad seperti itu. Orang-orang yang memiliki salah faham seperti ini boleh sahaja masuk syurga jika ALLAH mengampunkan mereka dan hal ini memiliki perbahasan tersendiri dari hadis riwayat Muslim.
Kesimpulannya perkara-perkara usul ini sangat penting untuk diyakini secara benar kerana menyangkut aqidah kita sebagai Islam, adakah kita ini Ahlus Sunnah Wal Jama’ah atau firqah (aliran-aliran aqidah) lain yang sesat. Perkara usul juga menentukan adakah keimanan ini sempurna, cacat atau terbatal langsung. Dalam hal usul ketegasan dakwah diperlukan dan kita tidak boleh bertolak ansur jika sesuatu perkara yang bercanggah dengan kebenaran itu dipaksakan kepada kita.


b) Apa itu perkara furu’?

Perkara furu’ dapat diertikan dengan mudah sebagai perkara cabang. Secara garis besarnya perkara furu’ berkait rapat dengan
luasnya tafsiran Islam dan fleksibilitinya dalam urusan feqah.
Berikut adalah panduan perkara-perkara yang dapat saya simpulkan masuk dalam urusan furu’iyyah berdasarkan kitab Yusuf Al-Qaradhawi ‘
At-Taiysirul Fiqh Lil Muslim Al-Mua’sir’ (Memudahkan Fiqh Untuk Muslim Kontemporari):
  • Kaedah pelaksanaan ibadah yang mungkin berbeza dalam beberapa hal, syaratnya, hukumnya dan kaifiyyatnya yang semuanya bersumberkan dalil, namun kaedah para Ulama’ berbeza dalam menyimpulkan hukumnya. Contohnya kebolehan membaca Al-Qur’an oleh wanita yang haidh. Sebahagian ulama’ mengharamkan atas sangkaan mereka pada beberapa dalil, sedangkan yang lain mengizinkan dengan alasan tiada dalil jelas pengharaman.
  • Perbezaan yang timbul disebabkan ‘zhonniyyatul dilalah’ (Ketidak jelasan maksud dalil) dikalangan ulama’. Contohnya, dalam Surah Al-Baqarah ayat 184, ALLAH S.W.T mengizinkan orang sakit dan musafir untuk menunda puasa. Perkataan "مرض" yakni ‘sakit’ mengundang perbincang luas dikalangan para Ulama’ tentang sakit ini sampai ke tahap bagaimana yang diizinkan untuk tidak berpuasa. Maka timbullah pelbagai penafsiran tentang sakit , sehingga ada mazhab seperti mazhab Zhohiri yang menganggap sakit apa pun tidak kira walaupun jari tangan yang sakit. Persoalan seperti ini agak banyak juga dalam agama seperti, penafsiran para Ulama’ tentang jarak yang disunnahkan atau diharuskan qasar solat dan sebagainya. Secara kesimpulannya, kewujudan dalil yang tidak jelas sempadan maksudnya menimbulkan pelbagai kesimpulan hukum. Oleh itu, hal inilah dianggap furu’ dalam agama.
  • Perkembangan zaman membawa kepada banyak perkara baru dalam hidup insan sehingga perlu pelbagai kaedah dalam menyimpulkan satu-satu hukum hakam dan penjelasan agama dalam mengaitkan hal-hal tersebut dengan firman ALLAH dan Sabda RasulNYA. Sudut pandang para Ulama’ berbeza-beza dalam hal-hal ini. Contohnya tentang zakat pendapatan. Ada yang menganggapnya bid’ah dan ada yang menganggapnya wajib seperti Dr. Yusuf Al-Qaradhawi. Hal ini bertitik tolak daripada perbezaan pola sosio-ekonomi yang memperlihatkan bagaimana sektor perkhidmatan telah diserap masuk menjadi antara sektor ekonomi yang dominan dan melibatkan sejumlah besar dari umat ini. Maka, Dr. Yusuf Al-Qaradhawi membawakan beberapa hujjah dan pandangan Ulama’ terdahulu tentang wajarnya zakat pendapatan ini walaupun dibantah oleh sejumlah Ulama’ yang lain yang menganggap pendapatan atau gaji tidak disyaratkan zakat dalam syariat.
Oleh hal yang demikian, sangatlah tidak wajar untuk satu-satu pihak berkeras terhadap pihak yang lain dalam hal-hal seperti ini. Bukanlah sengaja diizin-izinkan untuk berbeza dalam hal-hal seperti ini,akan tetapi fenomena perbezaan dalam hal feqah ini berlaku pada generasi benchmark agama yakni generasi sahabat. Hal ini berlaku disebabkan perbezaan sabda Rasululullah yang mereka dengar dan pemahaman yang berlainan atas hadis tersebut. Contoh yang mudah antara Ibnu Mas’ud dan Ibnu ‘Abbas; Ibnu Mas’ud menganggap bahawa mencuci muka ketika wudhu’ wajib mengalirkan air ke mata sedangkan Ibnu ‘Abbas menidakkannya. Hal ini menjadi hujjah yang kuat Ahlus Sunnah Wal Jama’ah bahawa wujud perbezaan feqah dalam agama ini dan hal ini tidak mencacatkan aqidah.

c)Antara salah faham yang wujud dalam persoalan ini adalah seperti berikut:

  • Menganggap bahawa amalan bid’ah sebahagian daripada masalah furu’.
Hal ini menunjukkan kedangkalan dalam memahami agama. Termasuk dalam perkara Aqidah meyakini bahawa tiada ibadah yang disyariatkan melainkan dengan petunjuk Nabi S.A.W. Perkara ini disebut dengan luas dan jelas dalam hadis-hadis Nabi S.A.W dan telah disepakati secara jumhur. Sila lihat kitab-kitab seperti Al-Ahkam fi Usulil Ahkam, Imam As-Syafi’e, Syarah Aqidah Wasathiyyah, Ibnu Taiymiyyah dan Al-I’tisam, Imam As-Syatibi. Antara kalimat yang masyhur adalah ‘ Sesiapa yang menganggap bahawa bid’ah diharuskan dalam agama berdasarkan syubhah(kekeliruan) terhadap Hadis-Hadis mulia Rasulullah dan amalan sahabat maka mereka telah menyimpang dari jalan Sirotal Mustaqim’. Sebagai tips kepada pembaca, perbezaan yang berpunca daripada pandangan yang tidak memiliki dalil, penggunaan hadis palsu dan dha’if dan pemahaman dalil dengan cara faham yang janggal dari amalan Nabi S.A.W dan sahabat ADALAH PERBEZAAN USUL, BUKANNYA FURU’. Hal ini disebabkan beramal dalam agama berdasarkan petunjuk Nabi S.A.W atas manhaj salaf ADALAH PERKARA AQIDAH bukannya cabang. Sila lihat Bab 3, 4 dan 5. Ketiga-tiga kaedah itu adalah usuluddin yang mendasari feqah. Ketiga-tiga kaedah ini bersifat objektif dan sangat mudah dikenalpasti bagi yang menginginkan kebenaran.

  • Mengganggap asalkan ada perbahasan Ulama’ maka hal itu furu’.
Pemahaman ini juga merupakan musibah kepada ummat ini. Saya yakin kita semua sepakat bahawa, selain Nabi S.A.W tidak ada sesiapa yang maksum termasuk para Ulama’. Ramai orang hanya bersetuju perkara ini pada mulut mereka sahaja, tetapi tidak dalam pengamalan agama sehari-hari. Jika mereka menganggap Ulama’ juga maksum maka mereka telah berbeza secara usul dan menyerupai syi’ah dalam memartabatkan Ulama’-Ulama’ mereka setaraf dengan Rasul. Dalam ertikata yang lain, kita tidak boleh menganggap apabila seseorang ulama’ berbeza pendapat dengan ulama’ lain maka hal itu furu’.

Lihatlah masyarakat kita, apabila kita menyebut tentang amalan tahlil, bacaan Yasin pada hari-hari tertentu dan sebagainya mereka cuba mencari dan mengorek kalau-kalau ada ulama’ yang menganjurkan amalan itu dan seterusnya mengatasnamakan hal furu’, mereka cuba menutup mulut para Ulama’ Sunnah ini atau lebih dikenali di Malaysia golongan tajdid. Akan tetapi, saya merasa sangat MAHA hairan, apabila Astora Jabat ‘membuka mata’ orang bahawa adanya Ulama’ yang mengatakan memakai tudung tidak wajib bagi wanita, tak ada azab kubur, boleh makan katak , wanita boleh jadi imam solat jemaah di Masjid dan sebagainya, orang ramai terkejut.Sebahagian ustaz menggelepar tak senang duduk sehingga menganggap Astora seperti Hitler yang telah membawa idea yang kejam untuk merosakkan umat. Tidakkah Astora ‘berjaya mencelikkan mata’ orang bahawa tudung itu furu’, mempercayai azab kubur itu furu’ dan makan kata itu hal furu’?

Fenomena ini menunjukkan bahawa sebenarnya, kebanyakkan orang bukanlah terima sangat prinsip ‘ada ulama’ sebut maka hal itu furu’, tetapi lebih kepada sentiment APA SAHAJA YANG BERCANGGAH DENGAN AMALAN MASYARAKAT MAKA IA DITOLAK. Amalan masyarakat dan keyakinan-keyakinan pelik yang diwariskan turun-temurun LEBIH DIANGGAP AGAMA DARIPADA APA YANG TERMAKTUB DI DALAM SUNNAH. Orang ramai belum lagi mengetahui bahawa ada Ulama’ dalam mazhab Maliki yang menghalalkan daging anjing, ada ulama’yang mengatakan solat Jumaat itu fardhu kifayah, tidak berdosa menonton filem lucah (atas alasan perkara tersebut dibalik screen), orang yang ingin meminang boleh meminta supaya wanita yang dipinangnya itu menunjukkan seluruh tubuhnya (berbogel) dan banyak lagi perkara-perkara aneh yang dapat diserapkan dalam masyarakat JIKA ORANG TERUS MENERUS BERPEGANG ATAS PENDAPAT ASALKAN ADA ULAMA’ SEBUT MAKA HAL ITU MENJADI HAL FURU’ DAN KITA TAK BOLEH BERKERAS PADA HAL FURU’.

Dalam zaman teknologi maklumat berkembang pesat, maka segala informasi ini boleh diakses dengan hujung jari sahaja. Maka yang kita perlukan adalah mendidik umat ini dengan kaedah yang benar dalam agama. Kita mesti yakin bahawa furu’iyyah itu adalah pada pola perbahasan dalil dan bukanlah HANYA KERANA ADA ULAMA’ YANG SEBUT. Inilah manhaj salaf yang sangat mementingkan hujjah dan dalil. Jika kita berpegang terhadap hal ini, maka umat akan terselamat dari ajaran-ajaran menyimpang.

  • Tidak boleh berdakwah dalam perkara furu’.
Sedikit salah faham juga timbul dalam hal ini. Sebenarnya kempen supaya orang beragama dengan berdalilkan Al-Qur’an dan Sunnah tetap mencelikkan mata mereka bahawa dalam agama ini yang paling benar bukanlah terletak pada Ulama’ mana yang kita ikut, mazhab apa yang kita pilih hatta kepada organisasi mana yang kita anggotai tetapi pada sejauh mana sesuatu itu menepati apa yang ALLAH dan Rasul ajarkan kepada umat Islam. Oleh hal yang demikian sesiapa yang berpegang pada prinsip ini mungkin seolah-olah memperlihatkan mereka beramal dengan sesuatu yang berbeza dengan apa yang diamalkan masyarakat walaupun dalam hal-hal tertentu apa yang masyarakat sendiri amalkan tetap tidak menyanggahi sunnah. Misalnya, masyarakat umum pada kebiasaanya hanya qasar dalam solat jika mereka bermusafir sejauh 2 marhalah (90km) seperti pandangan mazhab Syafi’e. Hal ini benar dalam agama. Akan tetapi bagi mereka yang membaca hujjah para Ulama’ yang mengatakan jarak musafir yang kurang dari 2 marhalah dan mereka meyakininya, adakah salah mereka mengamalkannya? Mereka juga benar.

Dakwaan bahawa tidak boleh berdakwah dalam perkara furu’ adalah dakwaan yang keliru kerana sebagai seorang mukmin, dia berhak untuk tahu dalil-dalil apa yang digunakan oleh mazhabnya dan berhak juga untuk mengetahui pendapat ulama’-ulama’ lain dan memilih yang lebih tepat. Hal inilah yang diajarkan Al-Qur’an seperti dalam surah Az-Zumar ayat 38, (sila lihat bab awal). Perbincangan seperti ini lebih terperinci dibincangkan dalam Bab Talfiq dalam kitab-kitab usul fiqh. Saya tidak akan membincangkannya di sini. Kempen supaya manusia tidak sekonyong-konyong dan taqlid buta telah disebut oleh ramai ulama’. Sesiapa yang memiliki buku Sifat Solat Nabi dari Syeikh Nasiruddin Al-Albani dapat membaca hal ini di muqaddimah buku itu. Antaranya ialah Imam As-Syafi’e sendiri yang mengatakan ‘Jika suatu hadis shahih maka ia mazhabku’. Hal ini menunjukkan betapa para Imam sangat menekankan persoalan dalil dalam agama kerana hal itu USUL DALAM AGAMA.

Melarang ummat ini mengetahui sesuatu dari sunnah dengan memenjarakan mereka atas nama mazhab wilayah dan membutakan mereka dengan taqlid ADALAH MENYANGGAHI SUNNAH. Suatu perkara lagi yang berlaku hasil daripada salah faham ini adalah pihak yang kononnya telah beriman berdalilkan ustaz dan amalan masyarakat cenderung berkeras pula kepada pihak yang menyanggahi mereka sedangkan mereka sendiri yang kata jangan berkeras dalam perkara furu’. Misalnya, dalam hal wanita haid dilarang ke masjid. Jika memang kita ini harus berlapang dada dalam hal furu’, mengapakah kalau ada wanita yang menganggap boleh pergi masjid walaupun haidh dimarahi? Hal ini sering berlaku dalam keluarga-keluarga konservatif melayu yang berkeras kepada anak perempuan mereka supaya ikut mazhab bapak mereka. Sikap ini double standard. Adakah maksud ‘jangan berkeras itu’ sebenarnya ‘jangan berkeras dengan kami sahaja, tetapi kami boleh berkeras dengan anda’ ? Tambahan pula, ada masyarakat kita kerap membantah sesuatu pendapat yang baru mereka dengar dalam agama bukan kerana dalil atau ilmu tetapi hanya kerana mereka tak pernah dengar dan sentimen mazhab tempatan. Al-Imam As-Syafi’e sendiri pun tak ada sentiment itu. Menolak sesuatu pendapat agama yang berdalil tanpa hujjah dan dalil menyebabkan mereka telah berselisih dalam hal usul. Banyak sahaja perkara yang disangka dari Imam As’Syafi’e tetapi sebenarnya bersumber dari mazhab ustaz-ustaz kampung. Kalau nama ustaz mereka Ustaz Awang misalnya, sepatutnya nama mazhab mereka ialah mazhab Awangi. Saya mencadangkan pembaca membaca buku ‘Imam Syafi’e Menggugat Syaifi’iyyah’ karangan Ustaz Abu Umar Basyir.

Apa yang dapat disimpulkan dalam bab ini adalah, persoalan agama dapat dibahagikan kepada persoalan usul dan furu’. Persoalan usul biasanya lebih bersifat objektif dan memiliki kebenaran yang concrete dalam agama sehingga undebatable melainkan seseorang tersebut memiliki masalah aqidah. Perkara furu’ pula lebih luas persoalannya dan boleh memiliki beberapa pendapat yang benar dalam sesuatu hal. Kita boleh berpegang pada mana-mana pendapat asalkan benar dan berlapang d
ada dengan orang yang berbeza dengan kit
a.

Currently have 1 comments:

  1. Anonymous says:

    salam ziarah bro...

    keep it up bro!

    teruskan usaha anda dalam menyampaikan kebenaran dlm agama...

    ''hantarlah bicara yg benar agar mengalir ke setiap alur dan datar''

    teruskan usaha anda! moga ALLAH redha...