.
Latest News

Aqidah Murni Teras Kecemerlangan Hakiki

Posted by sunnahmania on Tuesday, March 31, 2009 , under | comments (4)



AQIDAH MURNI TERAS KECEMERLANGAN HAKIKI

(Teks Syarahan Ust Prince)


Assalamualakum w.bt. Alhamdulillahi rabbil ‘alamin was solatu wassalam mua’ala asyrafil ambiya’iwal mursalin wa ‘ala alahi wasahbihi ajmai’in

.

Jambangan penghargaan buat Tuan Pengerusi majlis, barisan kehakiman yg adil lagi penuh hikmah kebijaksanaan, dif-dif terhormat dan seterusnya hadirin yg dirahmati ALLAH sekalian. Salam Sejahtera. Berdirinya saya di sini pada hari yg penuh barakah ini adalah untuk mengajak sidang hadirin sama-sama merenung secebis peringatan dari saya dibawah tajuk “Aqidah Murni Teras Kecemerlangan Hakiki”. Hadirin, Islam yg dahulunya gagah, kini lemah, ummahnya yg pernah mencipta sejarah, kini terbungkam rebah. Jika disingkap lembaran sejarah Islam diawal, pasti kita akan mendapati ummah ini mulanya bangkit bukan kerana kekayaan harta, kekuatan tentera mahupun kelestarian budaya akan tetapi adalah kerana kemurnian aqidah yang menjadi tunjang kepada kecemerlangan mutlak.

Hadirin , terlebih dahulu izinkan saya menyentuh seimbas lalu takrif dari tajuk ini agar trgambar di minda hadirin sekalian tentang apa yg bakal saya kupaskan. Aqidah secara literalnya menurut Ensiklopedia Lisaanul Arab membawa maksud ikatan yang disimpul kuat. Secara istilahnya ‘Aqidah Murni’ dapat diertikan dgn kefahaman dan keyakinan yang jitu dan shahih terhadap prinsip-prinsip dasar agama yang diambil dari Al-Qur’an dan Sunnah. Teras membawa maksud dasar . Manakala, kecemerlangan hakiki ini dapat dirujuk maksudnya dalam Surah Al-Baqarah ayat 201 dan 202 yakni kebaikan dan kejayaan di dunia dan di akhirat.



Hadirin Sekalian,

Aqidah yang murni berpaksikan kepada 2 kalimah syahadah. Hasil dari benih syahadah yang jelas dan utuh inilah akan mencambah akar keimanan dan ketaqwaan, menumbuh teguh batang kesabaran, meninggi dedahan yang menadah tawakkal, merimbun dedaun istiqamah yang meneruskan kelangsungan kehidupan, mehasilkan bunga dan buah akhlaq yang menghamburkan manfaat dan keindahan. Inilah tamsilan pepohon keIslaman. Sesungguhnya Aqidah yang murni yakni mengagunggkan tauhid dan menabalkan Rasul sebagai ikutan pasti akan diterjemahkan dalam kehidupan. Terdapat 5 manifestasi utama dari Aqidah Murni yang dapat menjadi teras kepada kecemerlangan hakiki.


.

Tuan2 dan Puan2 Sekalian,

Manifestasi yg pertama adalah keimanan dan ketaqwaan. Keimanan penterjemahan pertama dari kefahaman Agama pada Rukun Iman yang 6. Teras aqidah yg kukuh pintu kearah pengabdian kepada Sang Pencipta. Sedangkan taqwa adalah kemuncak dari keimanan yg membawa kepada ketelitian seorang hamba dalam mengabdikan diri kepada ALLAH. FirmanNYA dalam surah Al-A’raf ayat 96:



وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَى آَمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِمْ بَرَكَاتٍ مِنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ َ


Mafhumnya. Seandainya penduduk suatu kawasan beriman dan bertaqwa kepada ALLAH nescaya ALLAH membuka keberkatan dari langit dan dari bumi. Generasi awal Islam adalah generasi yang yang dicintai ahli langit dan bumi hasil dari keimanan dan ketaqwaan yang diharmonikan dalam kehidupan. Sekiranya kita melihat negara-negara umat islam pada hari ini masih terlihat kesan keberkahan hasil bumi dari ALLAH. Hal ini adalah warisan dari kurniaan ALLAH kepada generasi Islam yg sebelum kita. Negara-negara umat islam merupakan majoriti dalam pertubuhan negara-negara pengeluar minyak (OPEC). Namun kerana iman kurang, taqwa hilang, ummah islam kini meradang kerana hasil bumi tinggi menjulang tapi negara Islam terus diburu hutang.



Manifestasi Aqidah Murni yg kedua adalah Ikhlas kerana ALLAH. Hadirin yg dimuliakan. Keikhlasan, adalah penilaian yg paling kemuncak untuk diberikan ganjaran dari ALLAH. Keikhlasan juga merupakan penawar utama dalam merawat masyarakat yg pentingkan diri, mengutamakan kaum kerabat sendiri kepada masyarakat yg bertimbang rasa, dan mengutamakan perintah ALLAH dalam mengurus dan menyelia sesuatu gerak kerja. Marilah kita melihat potongan dari hadis baginda Nabi S.A.W


.

إِنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى


Muttafuqun ‘alaihi . maksudnya ‘Sesungguhnya setiap amal itu dengan niat, dan sesungguhnya setiap sesuatu adalah untuk apa ia diniatkan’


Sejarah menunjukkan ummat yg berkerja dan berjuang bukan untuk ALLAH semata, sentiasa tamak haloba, agenda diri dicanang merata, masyarakat hancur binasa. Tetapi apabila ALLAH didepan mata, keutamaan ALLAH dijunjung dibatu jemala, masyarakat stabil aman dan sentosa, syurga yang dijanji sentiasa didamba manakala neraka yang menyala-nyala menjadi ingatan waspada Maulana Zakaria Kandahlawy dalam bukunya Fadhailul A’mal menukilkan satu kisah pengajaran dari Umat Nabi Musa, tentang seorang rahib yang menang melawan syaitan kerana keikhlasannya ingin menebang pohon syirik. Namun, apabila dia melawan syaitan kerana wang yang dijanjikan tidak diberi syaitan, dia tewas dgn mudahnya. Kata Maulana Zakaria, kisah ini menjadi iktibar bahawa sesungguhnya amalan yang dilakukan dengan keikhlasan yang tulus kepada ALLAH mempunyai kuasa, kekuatan dan hasil yang luar biasa.



Manifestasi Aqidah Murni yang ketiga ialah kesabaran. Kesabaran bermaksud kecekalan hati dan ketabahan jiwa dalam berhadapan dengan musibah mahupun nikmat yang menggoda. Kesabaran dapat dipupuk dengan kesadaran bahawa ALLAH yang menciptakan manusia, menurunkan nikmat dan seksa, memberikan ganjaran dan malapetaka bertujuan menilai reaksi kita kepadaNYA yang Maha Kuasa. Hidup hanya sementara, terlalu remeh untuk menjadi puncah gundah dan resah jika dibandingkan dengan kehidupan akhirat yang kekal sampai bila-bila. Firman ALLAH dalam Surah Al-Baqarah ayat 155 hingga 157:


وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنْفُسِ وَالثَّمَرَاتِ وَبَشِّرِ

الصَّابِرِينَ (155) الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُمْ مُصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ (156) أُولَئِكَ عَلَيْهِمْ صَلَوَاتٌ مِنْ رَبِّهِمْ وَرَحْمَةٌ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُهْتَدُونَ


Maksudnya: dankami akan menguji kamu dengan ketakutan dan kelaparan daripada kekurangan harta benda, jiwa dan tanam-tanaman, berilah khabar gembira kepada orang yang sabar. Yakni mereka yang mengatakan bahawa ‘Kami dari ALLAH dan kepadaNYAlah kami kembali. Keatasn mereka selawat dari Tuhan mereka dan Rahmat, dan merekalah orang-orang yang mendapat hidayah.



Hadirin tidak ada yang lebih besar fadhilat kesabaran daripada Rahmat yang ALLAH janjikan. Rahmat inilah yang membawa kecemerlangan yang hakiki. Sesungguhnya model insan yang sabar ini telah dirakam dalam Al-Quran iaitulah kisah Nabi Ayub. Hasil dari keyakinan kepada ALLAH, Nabi Ayub bersabar dan akhirnya dihilangkan segala bencana. Demikianlah juga Nabi Yusuf yang sabar di dalam penjara kerana menahan diri dari maksiat kerana takutkan ALLAH akhirnya diangkat menjadi pembesar yang mulia. Inilah kecemerlangan hasil kesabaran. Kita lihat darsawarsa ini, ramai yang mati katak kerana membunuh diri mereka kerana tidak sabar dengan masalah yang menimpa, ramai yang ingin cepat berharta mengerut dahi kerana ditipu skim cepat kaya dan ramai celaka di jalan raya kerana tidak sabar ketika memandu kereta. Inilah scenario apabila kesabaran tiada.


Manifestasi Aqidah Murni yang berikutnya ialah Akhlak yang Mulia. Akhlak merupakan reflex sikap terhadap lingkungan. Akhlak yang mulia pasti terbentuk dengan didikan Islam yang berteraskan aqidah murni. Nabi S.A.W sentiasa mengaitkan akhlak dengan keimanan kepada ALLAH dan hari akhirat menunjukkan kaitan erat kejituan akidah dengan kemuliaan akhlak seorang insan. Akhlak mempunyai spectrum amalan yang luas dalam kehidupan seperti akhlak terhadap keluarga, jiran tetangga hingga ke alam semesta. Hal ini selari dengan sabda nabi dalam HR Muslim ‘Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia’. Hadirin, banyak Negara maju seperti Amerika Syarikat yang membina bangunan yang tinggi dengan mencemar budi pekerti, memperbaharui teknologi IT dengan merusak akhlak peribadi, menjana ekonomi dengan meruntuhkan hubungan harmoni. Ini bukanlah kecemerlangan hakiki. Sejarah menunjukkan bagaimana empayar-empayar Islam mengukir tinta emas dengan menonjolkan akhlak sebagai salah satu komponen peradaban ummah. Lihatlah ketika zaman Abbassiyyah, jenayah hampir sifar sedangkan kemajuan kebendaan juga berada di puncak kegemilangan.Muslimin dan Muslimat sekalian,



Manifestasi aqidah murni yg kelima dan terakhir adalah beristiqamah dan bertawakkal. Istiqamah adalah konsistensi dari sesuatu amalan atau ibadah dan tidak mengenal erti putus asa. Tawakkal pula adalah menyerahkan nasib kepada ALLAH. Kedua sikap ini dapat memastikan umat islam menjadi umat yg berdaya maju, pantang berundur dan tidak berputus asa. Mari kita lihat potongan firman ALLAH S.W.T dalam Surah Al-Hijr ayat 52,


.. قَالَ وَمَنْ يَقْنَطُ مِنْ رَحْمَةِ رَبِّهِ إِلَّا الضَّالُّونَ


Maksudnya, ‘Dia berkata tidak ada yang berputus asa dengan Rahmat ALLAH melainkan orang2 sesat’ Hadirin, ALLAH mengaitkan rasa putus asa dengan kesesatan menunjukkan bahawa insane yang kukuh aqidahnya tidak akan putus asa dan akan terus berjuangn dalam segenap aspek hidup ini. Tawakkal pulak harus menjadi pelengkap setelah konsisten. Masyarakat yg bertawakkal dalam setiap urusan adalah masyarakat yg tak kenal erti kalah. Ummah yg kuat bertawakkal adalah ummah yang yakin segala urusan adalah milik ALLAH dan akan kembali kepadaNYA. Mereka berani mengorak langkah menuju apa yg dicita. Janji ALLAH kepada mereka yg bertawakkal adalah ALLAH cukupkan keperluannya seperti Firmannya dalam surah At-Talaq ayat 3,


وَمَنْ يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُه

Mafhumnya, barangsiapa bertawakkal kepada ALLAH baginya kecukupan. Hadirin yg dimuliakan, masih kah kita ingat peristiwa perang Badar? Tentera Islam yg sedikit, maju dengan tegap, tanpa rasa gentar, membulatkan tawakkal kepada ALLAH, akhirnya memahat kejayaan mengagungkan dalam sejarah umat Islam. Sekiranya hal ini diterapkan dalam persoalan pendidikan, ekonomi dan sosio-politik, tidakkah ummah ini akan mengukir kembali sejarah silamnya yg agung dan menggapai kecemerlangan hakiki, duniawi dan ukhrowi.

Sidang pendengar yg budiman,


Selesailah sudah saya menjelaskan 5 manifestasi utama yang terbit dari aqidah murni dan seterusnya mengundang kecemerlangan yang hakiki. Hadirin inilah resepi bagaimana Arab Jahiliyyah di padang Pasir dan memasuki sejarah dunia dan menjadi generasi yang paling baik pernah disaksikan oleh ahli langit dan bumi seluruhnya. Resepi yang tidak ada keraguan padanya iaitu Aqidah yang Murni. Mudah-mudahan ALLAH merezkikan kepada kita fahaman yang shahih dan hidayah dalam usaha memantapkan aqidah ini.

Sekian Wabillahi Taufiq wal Hidayah, Assalamualaikum w.b.tuh




Ahlan Wasahlan

Posted by sunnahmania on Saturday, March 28, 2009 , under | comments (0)



Assalamualaikum , ahlan wasahlan, Selamat datang ke blog sunnahmania@blogspot.com.
InsyaAllah kami dedikasikan blog ini sebagai salah satu wadah untuk sama-sama kita beroleh info dan panduan dalam memahami Al-Quran dan Sunnah nabi bersesuaian dengan manhaj dan pemahaman generasi salafussoleh, selain menjadi lapangan buat kita untuk berkongsi idea dan pandangan terhadap isu-isu semasa dan sebagainya.

Selain itu, buat teman-teman yang seperjuangan, insyaAllah akan kami uploadkan disini mp3 dan juga silibus tarbiyah kita sebagai panduan dan pedoman, kerana silibus primer kita hanya Al-Quran dan As sunnah.
Marilah sama-sama kita imarahkan dan manfaatkan blog ini dengan sebaiknya, jika anda ada apa saja idea, pandangan, soalan dan sebagainya, jangan malu , jangan segan, ajukan saja disini, atau anda boleh emailkan kepada kami di sunnahmania@gmail.com , insyaAllah akan kami layani secepat mungkin.

Semoga kita beroleh manfaat dan kebaikan insyaAllah, sy mewakili admin, mengucapkan, majulah sunnah untuk agama- admin(28/3/09)