.
Latest News

Yang mana satu ek? part 3

Wednesday, May 13, 2009 , Posted by sunnahmania at Wednesday, May 13, 2009


FAYATTABI’UUNA AHSANAH: SATU METODOLOGI MEMILIH PENDAPAT PART III

BAB 5: MEMILIH PENDAPAT YANG LEBIH MENYELURUH PERBAHASAN DALILNYA




Para Imam dan Ulama tidaklah maksum dalam mengeluarkan satu-satu hukum dan ijtihad. Salah satu masalah dalam ketidakmaksuman ini adalah kemampuan mendapatkan semua dalil terutama daripada hadis-hadis Nabi S.A.W. yang harus dipertimbangkan dalam mengeluarkan pendapat dan hukum. Hal ini dapat terjadi disebabkan beberapa hal seperti berikut :


a) Para Imam-imam Hadis seperti Imam Bukhari dan Muslim lahir setelah kebanyakkan Imam-imam Feqah seperti Imam Hanbal, Syafi’e dan Hanafi berada di penghujung hayat mereka. Oleh hal yang demikian ‘excess’ kepada hadis-hadis Nabi secara keseluruhannya agak kurang pada zaman perkembangan mazhab-mazhab feqah. Hal ini menyebabkan ada hukum-hakam yang disimpulkan para ulama tidak mengambil kira hadis-hadis yang mungkin tidak mereka ketahui. Sedangkan hadis-hadis itu seharusnya mempengaruhi hukum-hakam yang dikeluarkan.



b)Hadis-hadis yang dianggap dhaif oleh sebahagian ulama’ boleh jadi dianggap shahih oleh ulama’-ulama’ zaman kemudian. Salah satu perkara yang menimbulkan hal ini adalah ulama’2 kemudian dapat ‘excess’ kepada kitab-kitab hadis lebih banyak daripada ulama’ kurun awal sehingga mereka dapat menemui jalur sanad yang lain yang mengangkat derajat satu-satu hadis. Apatah lagi ulama’-ulama’ kontemporari di zaman kini, dengan segala kecanggihan teknologi dan penulisan kitab-kitab hadis membolehkan mereka melihat perbahasan dalil dengan lebih menyeluruh daripada ulama’-ulama’ kurun awal. Perlu diingatkan bahawa hal ini tidak menafikan keafdhalan dan kehebatan ulama’-ulama’ terdahulu kerana mereka banyak menyumbangkan penulisan-penulisan ke arah berkembangannya ilmu agama dan pemahaman umat terhadap ayat-ayat ALLAH dan Hadis-hadis Rasullullah. Cuma, dalam beberapa hal kesimpulan hukum hakam dan pendapat agama, masing-masing ulama’ mungkin sahaja memiliki kekurangan satu-satu hadis Nabi.




c) Para Ulama’ kemudian juga tetap tidak terlepas daripada kemungkinan tidak dapat menjumpai keseluruhan dalil yang perlu dipertimbangkan untuk mengeluarkan satu-satu hukum. Hal ini disebabkan begitu banyaknya hadis Nabi S.A.W yang berjumlah jutaan dengan puluhan kitab-kitab hadis yang berjilid-jilid. Maka sebagai manusia, ada ulama’ yang dapat melihat keseluruhan dalil dan ada yang tidak. Maka, kita perlu menilai apa sahaja dalil yang mereka sandarkan dalam satu-satu pendapat dan ijtihad mereka, dan memilih siapa yang lebih menyeluruh.


Contohnya, dalam mazhab Imam Syafie, menyentuh atau tersentuh isteri atau wanita bukan mahram batal wudhu’. Hal ini disimpulkan kepada penafsiran Imam terhadap ayat ALLAH:


وَإِنْ كُنْتُمْ مَرْضَى أَوْ عَلَى سَفَرٍ أَوْ جَاءَ أَحَدٌ مِنْكُمْ مِنَ الْغَائِطِ أَوْ لَامَسْتُمُ.. ..النِّسَاءَ فَلَمْ تَجِدُوا مَاءً فَتَيَمَّمُوا

“…dan jika kamu sakit atau dalam perjalanan atau buang air atau
MENYENTUH/BERSETUBUH dengan perempuan dan kamu tidak menjumpai air maka bertayammumlah…”
(Surah An-Nisa’,4:43)


Para Imam ada yang berbeza pendapat apakah perkataan ‘لَامَسْتُمُ' bermaksud ‘sentuh’ atau ‘setubuh’. Perbezaan tafsiran ini membawa perbezaan hukum adakah batal wudhu’ ataupun tidak dalam menyentuh wanita disebabkan yang menafsirkannya dengan ‘setubuh’ sudah tentu mengatakan sentuh sahaja tidak batal wudhu’. Banyak dalil yang dibahaskan oleh kedua-dua pihak. Namun, pihak yang menafsirkan ‘setubuh’ menyatakan disana adanya hadis shahih dari Abu Daud mengatakan Nabi mencium sebahagian isterinya lalu keluar untuk menunaikan solat tanpa berwudhu’ lagi. Maka mereka menyimpulkan ayat ALLAH ini merujuk kepada ‘setubuh’ baru batal wudhu’ bukannya sentuh kerana Nabi S.A.W cium (sentuh) isterinya sebelum solat. Di sini kita dapat lihat, ada pihak yang lebih menyeluruh dalilnya daripada pihak yang lain. Saya disini cenderung mengikut pendapat yang membahaskan dalil dengan lebih menyeluruh iaitu pendapat yang mengatakan tidak batal wudhu’ menyentuh perempuan. Perlu diingatkan bahawa menyentuh wanita bukan mahram tetap HARAM berdasarkan dalil-dalil yang shahih, tetapi ia tidak membatalkan wuhdu’. Bukan semua perkara yang haram dilakukan membatalkan wudhu’. Orang yang mengambil wudhu’ lalu mengumpat dan fitnah TETAP HARAM, namun batalkan wudhu? Tak ada dalil Nabi S.A.W, maka sah solat dia. Namun dosa tetap dosa.


Bab 6: JIKA BERTEMBUNG PENDAPAT-PENDAPAT YANG DIANGGAP KUAT PERBAHASAN HUJJAHNYA PILIHLAH YANG LEBIH MEMENUHI RUH ISLAM SECARA UMUM


Di sana adanya manhaj-manhaj umum (Kefahaman-kefahaman dasar)dalam Islam yang diatur oleh para Ulama’ yang disimpulkan daripada ayat-ayat ALLAH dan Hadis-hadis Nabi S.A.W. Sesungguhnya Islam ini syumul dalam segala lapangan kehidupan. Ada tajuk khas dalam membahaskan Sistem-Sistem Umum Islam dalam 12 cabang kehidupan. Saya tak akan dapat bahaskan satu persatu di sini. Tajuk ini khusus dalam perbincangannya.

Pertembungan pendapat-pendapat yang mungkin masing-masing pihak memiliki perbincangan dan huraian yang kuat ini banyak timbul di akhir zaman disebabkan banyak perkara yang perlu ijtihad para ulama’ disebabkan perkara itu baru dan tiada dalil yang jelas dapat dijadikan sandaran. Maka para ulama’ berusaha berijtihad berpedomankan dalil dan hujjah masing-masing. Contohnya, ada sebahagian ulama’ menghalalkan ‘interest’ dalam pinjaman oleh bank kontemporari. Hujjah mereka adalah seperti berikut:
"Sekarang ini bank perlu biaya untuk elektrik, bayar pegawai, sewa bangunan dan barang-barang pejabat seperti perabot, pen dan kertas. Maka susah untuk untuk tetapkan upah bila menjalankan transaksi perbankan. Oleh sebab itu, kita tetapkan ‘upah’ apabila orang buat pinjaman dengan peratusan. Misalnya, apabila upahnya 10%, jika dia pinjam RM10,000 maka upahnya adalah RM1000. Jika dia pinjam RM100,000 maka upahnya adalah RM10,000. Maka 10% ini bukanlah riba’ tetapi upah"

Yusuf Al-Qaradhawi juga pernah menyatakan bahawa ‘Kalau dilihat pada hujjah-hujjah mereka sepertinya halal transaksi seperti ini’. Cuma Roh Islam secara umum, mengharamkan riba’ untuk mengelakkan dizalimi orang yang meminjam. Pihak yang meminjam biasanya pihak yang susah. Sungguhpun mereka mengatasnamakan 10% ini dengan ‘upah’ , hakikatnya ia tetap riba. Tetaplah seseorang harus mengembalikan duit yang dipinjamnya dengan lebihan tertentu. Saya tidak ingin membahaskan hal ini dengan terperinci. Cukup sekadar saya memberi contoh bagaimana Roh Umum Islam dalam hukum-hakam ini dapat menjadi ‘touch stone’ memilih pendapat yang lebih baik. Timbul nanti persoalan, kalau bank diharamkan untuk kenakan ‘surcharge’ ini, tutuplah bank. Saya ada jawapannya, tetapi saya tidak akan huraikan di artikel ini.


Contoh yang lain, pada kes seorang pasangan telah berzina dan wanitanya hamil, lalu lelaki tersebut mengaku silapnya dan mengahwini wanita tersebut. Ada sebahagian mazhab yang menganggap anak zina halal dinikahi dan HARAM di ‘binti’kan dengan ‘biological father’nya sedangkan mazhab yang lain mengatakan HARAM menikah dengan anak zina dan WAJIB di’binti’kan dengan ‘biological father’nya kerana ayahnya mengaku dan telah pun mengahwini ibunya. Jika kita lihat pada pertembungan ini, manakah pendapat dan ijtihad yang lebih memenuhi Roh Islam yang bersifat menutup aib orang. Sedangkan anak susuan pun haram menikah dengan ayah susuan (suami kepada ibu susunya), inikan pula ayahnya sendiri. Apa akan jadi jika anak tersebut membesar lalu melihat pada surat beranaknya ‘bin’ atau ‘binti’ Abdullah sedangkan adik-beradiknya di’bin’ atau di’binti’kan dengan nama ayahnya. Apa perasaannya. Dua pendapat tersebut memiliki hujjah yang disokong daripada hadis-hadis Nabi, namun tetap bercanggah. Maka pilihlah yang mana bersifat memenuhi Ruh Islam yang menjaga aib manusia dan kerukunan keluarga kerana pasangan tersebut telah pun insaf. Dalam hukum Islam yang sebenarnya seharusnya mereka disebat, dan dinikahkan. Namun tiada dalil yang jelas menyebut status anak zina itu disisi ayahnya. Maka para Ulama’ mengeluarkan pendapat berdasarkan dalil-dalil umum sehingga timbul percanggahan.


Saya mengharapkan pembaca dapat memahami artikel ini. Saya mengaku artikel ini agak ‘high level’. Sesiapa yang masih keliru boleh je komen atau ‘buzz’ saya jika saya online. InsyaALLAH artikel ini akan bersambung tentang memilih pendapat yang lebih mudah pengamalannya dan tentang kebenaran pendapat relatif kepada masa dan tempat masing-masing. To be continued…. Terima kasih.


Currently have 1 comments:

  1. Hani says:

    Salam.
    Terima kasih, menarik, dan contoh isu yang diketengahkan juga menarik.

    1 soalan,
    boleh tak senaraikan sape je/sampai batas mana ulama2 kurun awal dan yang terkemudian, kalau boleh tambah cth2 utk yang kontemporari pun bagus juga. Ada beza manhaj ke antara kedua2 ni?

    Terima kasih.
    WS.