.
Latest News

Yang mana satu ek? Part 2

Friday, May 08, 2009 , Posted by sunnahmania at Friday, May 08, 2009


Assalamualaikum warahmatullah,

Alhamdulillah Allah S.W.T memberi kesempatan kepada saya kali ini untuk menyambung artikel tentang Manhaj Tarjih ini. Sebelum saya melanjutkan isi-isi penting berikutnya, perlu saya ingatkan bahawa contoh-contoh yang akan saya kemukakan bersifat mudah dan diringkas perbahasan dalilnya. Bahkan ada yang saya tidak akan sertakan nas-nas yang disandarkan para ulama’ dan hujjah-hujjah mendalam sehingga membawa perbezaan pendapat dikalangan mereka. Hal ini disebabkan saya bukanlah ingin mengetengahkan perbahasan fiqh itu tetapi ingin memahamkan tentang manhaj tarjih ini. Jika setiap contoh saya rincinkan maka akan menyusahkan pembaca kerana perhatian untuk memahami tajuk ini akan tertarik kepada memerhatikan perbahasan feqah contoh-contoh tersebut. Hal ini juga mengelakkan artikel ini terlalu panjang, banyak dan terlampau ilmiah untuk dicerna pembaca. Saya harus menegaskan hal ini kerana prinsip asal dalam memberi hujjah agama hatta contoh sekalipun sebaiknya disertakan dalil atau nas yang bersangkutan. Saya meminta ‘excuse’ dari hal ini atas tujuan yang telah saya maklumkan.Readmore!.



Fayattabi’uuna Ahsanah : Satu Kupasan Metodologi Dalam Memilih Pendapat Agama Part II


Bab 4: Jika berlaku percanggahan, pemahaman terhadap nas mesti dikembalikan selari dengan Nabi dan Para Sahabat


Sesiapa yang mengikuti ta’lim saya bertajuk “mawani’ fi ma’rifatillah” akan menyedari bahawa banyak salah faham terhadap ayat-ayat Al-Qur’an dan Hadis telah membawa umat ini berpecah-belah dalam urusan agama dan masing-masing mendabik dada bahawa dia memiliki kebenaran dan dalil. Hal ini berat jika melibatkan permasalahan aqidah. Sesungguhnya Nabi dan Para Sahabat merupakan ‘banch mark’ dalam memahami agama ini. Mereka adalah generasi terbaik dan diiktiraf sikap dan cara beragama mereka. Sila lihat video ceramah bertajuk ‘Lau kaana khairan’ yang disampaikan oleh Syeikh Abdul Hakim Amir Abdat. Firman ALLAH:


فَإِنْ آَمَنُوا بِمِثْلِ مَا آَمَنْتُمْ بِهِ فَقَدِ اهْتَدَوْا وَإِنْ تَوَلَّوْا فَإِنَّمَا هُمْ فِي شِقَاقٍ فَسَيَكْفِيكَهُمُ اللَّهُ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

“ Maka jika mereka beriman SEPERTIMANA KALIAN BERIMAN maka mereka telah mendapat hidayah. Dan jika mereka berpaling sesungguhnya mereka dalam perseteruan. Maka ALLAH mencukupkan engkau (dari mereka) dan DIA Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”
(Surah Al-Baqarah; 2:137)



‘SEPERTIMANA KALIAN’ dalam ayat di atas merujuk kepada Nabi S.A.W dan para sahabat baginda. Kerana sesungguhnya merekalah yang telah beriman ketika ayat ini turun dan ALLAH S.W.T telah mengiktiraf iman mereka sebagai neraca kepada diterimanya iman orang sesudah itu. Oleh hal yang demikian sewajarnya keimanan kita terhadap satu-satu nas mesti sama dengan pengamalan para sahabat bukannya atas keimanan palsu dan buta akibat diyakini secara jahil oleh ‘fatwa hati’ kita. Meskipun seseorang itu memiliki 1juta PhD dalam agama sekalipun jika para sahabat mengimani sesuatu yang bercanggah dengannya, maka keimanannya tertolak sama sekali. Contoh perbezaan hal akidah yang terbit dari dalil adalah hujjah golongan sufi sesat yang menganggap bahawa syarat wajib ibadah ini terhapus setelah kita memiliki keyakinan kepada ALLAH. Hal berdasarkan ayat 99 surah Al-Hijr :


وَاعْبُدْ رَبَّكَ حَتَّى يَأْتِيَكَ الْيَقِينُ
“Dan sembahlah Tuhanmu sehingga datang kepadamu KEYAKINAN”


Mereka menafsirkan secara jahil ‘keyakinan’ ini dgn lafaz umumnya sedangkan jika kita lihat nabi S.A.W telah menafsirkan dalam hadis yang shahih bahawa ‘yaqin’ itu bermaksud kematian. Jika mereka tidak mahu menerima hadis itu sekalipun, jika dilihat pada kehidupan nabi dan para sahabat adakah mereka berhenti beribadah sedangkan merekalah orang paling yakin kepada ALLAH? Maka pemahaman sebahagian sufi terhadap dalil ini apabila bercanggah dengan nas yang lain maka kita dapat melihat bahawa Nabi dan Sahabat tidak beriman dengan ayat ini dengan pemahaman seperti golongan-golongan sufi sesat.


Contoh yang masyhur dalam persoalan Feqah adalah ‘Qunut Subuh’. Dengan penuh penghormatan kepada Imam Mazhab yang Mulia, mazhab yang sedang saya anuti sekarang iaitulah Imam As-Syafie Rahimahullah, saya bawa contoh ini. Sesungguhnya saya yakin ajaran Imam Syafie berkehendakkan pengikut mazhabnya supaya jangan taqlid buta dan mengikut pendapat yang terbaik dan lebih mendekati kebenaran seperti kata-katanya yang masyhur ‘Apabila Sah sesuatu hadis maka ia adalah mazhabku’. Kita juga tidak wajar fanatik sehingga menganggap wajib mengambil semua ijtihad mazhab walaupun mazhab dan ulama’ lain telah memberi jawapan dan dalil yang lebih tepat. Antara dalil yang dianggap ‘Qunut Subuh’:

Dari Anas (bin Malik), ia berkata: "senantiasa Rasulullah s.a.w. berqunut pada shalat shubuh sehingga beliau berpisah dari dunia (wafat)". (Shahih Bukhari)

Pendapat 1 : Maksud ‘sentiasa’ di atas adalah satu perbuatan yang rutin dan ‘qunut’ bermaksud (seperti yang kebanyakkan orang melayu lakukan sekarang)

Pendapat 2 :
Maksud ‘qunut’ di atas adalah qunut nazilah (yang dikerjakan apabila hendak mendoakan keburukan atau kebaikan sesuatu kaum atau orang). ‘Sentiasa’ bermaksud sentiasa dikerjakan apabila ada tujuan mendoakan org lain dan nabi berqunut dalam solat Subuh, baginda juga qunut dalam waktu-waktu lain (seperti dinukilkan juga Imam Bukhari dalam Shahihnya).

Jika kita nilai percanggahan antara pendapat pertama dan kedua kita harus melihat adakah sahabat memahaminya seperti pendapat 1 atau 2. Sekarang kita nilai astar (perkataan sahabat) berikut:

Dari Said bin Thariq al-Asyja'I, ia berkata: "Aku pernah bertanya kepada bapakku: "Wahai Bapak! Sesungguhnya engkau pernah shalat di belakang Rasulullah s.a.w., Abu Bakar, Umar, Utsman, dan Ali. Apakah mereka itu semuanya mengerjakan qunut shubuh (terus menerus)Jawab ayahku: "Hai anakku! Itu
adalah perbuatan BID'AH (yang tidak diajarkan nabi dan diada-adakan).
(Hadis Shahih diriwayatkan Amad, Tirmidzi, Nasa'I, Ibnu Majah)


Penjelasan hadis: Jika kita lihat pada dalil ini, maka kita tahu bahawa sahabat-sahabat Nabi S.A.W yang solat belakang nabi tidak memahami qunut subuh seperti mana yang sebahagian orang fahami sekarang. Jelas bahawa jemaah sahabah tidak mengerjakan qunut subuh dalam keadaan terus menerus, apatah lagi dengan doa qunut witir yang ‘inovasikan’ oleh orang sekarang untuk dibacakan dalam qunut subuh. Pertanyaan Said juga menunjukkan kesalahfahaman ini telah berlaku sejak zaman tabi’in lagi.

Kesimpulannya, pemahaman dalil yang lebih tepat adalah tidak ada qunut subuh kerana sahabat tidak melakukannya dan merekalah lebih arif tentang tatakrama ibadah yang diajarkan nabi. Pendapat kedua didokong oleh majoriti besar ulama’. Sesungguhnya kita harus sedar bahawa para Imam dan Ulama’ tidak maksum, dan mereka beroleh pahala dalam ijtihad mereka kerana mereka telah berusaha memahami ayat-ayat ALLAH dan Rasul untuk diajarkan kepada umat. Sabda Nabi S.A.W:

“Apabila seorang hakim memberi keputusan, lalu ia berijtihad, kemudian ia benar maka baginya dua pahala, dan jika ia beri keputusan, lalu berijtihad kemudian salah, maka baginya satu pahala” [HR Bukhari dan Muslim]


Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah menjelaskan bahwa tidaklah setiap orang yang berijtihad dapat mencapai kebenaran. Tetapi selama ia berdalil dan bertaqwa kepada Allah sesuai dengan kesanggupannya, maka itulah yang Allah bebankan kepadanya. Allah tidak akan menghukumnya apabila ia salah. Ancaman dan hukuman itu baru berlaku bagi orang yang meninggalkan perintah dan melanggar larangan setelah tegak hujjah kepadanya (Sila rujuk Majmu Fatawa juz 19, hal. 213, 216, 217,227). Beliau juga mengatakan bahawa Ijtihad yang salah ini tidak boleh diikuti apabila kita mengetahui mana yang benar dan mana yang salah.
Hal yang dipermasalahkan adalah orang kemudian yang melihat percanggahan namun tetap ingin mengikut secara membabi buta (bukan selesema babi) kerana fanatik terhadap ustaz kampong mereka (yang dibandar pun sama) dan tidak ingin taat kepada perintah ALLAH dalam menyelediki perbezaan, maka merekalah yang tercela. Sesungguhnya ALLAH S.W.T telah berfirman:


وَمَنْ يُشَاقِقِ الرَّسُولَ مِنْ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُ الْهُدَى وَيَتَّبِعْ غَيْرَ سَبِيلِ الْمُؤْمِنِينَ نُوَلِّهِ مَا تَوَلَّى وَنُصْلِهِ جَهَنَّمَ وَسَاءَتْ مَصِيرًا
“Dan barang siapa yang menyanggahi Rasul setelah datang kepada mereka penjelasan dan mereka mengikut jalan selain orang-orang mukmin (para sahabat) maka kami biarkan mereka dalam kesesatan yang mereka kuasai dan mereka dihumbankan ke dalam neraka dan itulah seburuk-buruk tempat kembali” (Surah An-Nisa; 4:115)


Oleh hal yang demikian telitilah pendapat mana yang berdasarkan pemahaman dalil yang selari dengan apa yang Nabi S.A.W ajarkan, yang difahami oleh generasi sahabat dan diamalkan oleh generasri salafus soleh. Nantikan part III yg akan menghuraikan tentang memilih dalil yang menyeluruh dan pendapat yang lebih memenuhi ruh umum Islam. To be continued…Syukron
.

Currently have 0 comments: