.
Latest News

Yang mana satu ek?

Tuesday, May 05, 2009 , Posted by sunnahmania at Tuesday, May 05, 2009


Fayattabi’una Ahsanah : Satu Kupasan Metodologi Memilih Pendapat (Manhaj Tarjih) Part I




الَّذِينَ يَسْتَمِعُونَ الْقَوْلَ فَيَتَّبِعُونَ أَحْسَنَهُ أُولَئِكَ الَّذِينَ هَدَاهُمُ اللَّهُ وَأُولَئِكَ هُمْ أُولُو الْأَلْبَابِ
‘.. orang-orang yang mendengar dan mengikut mana yang terbaik itulah orang yang diberi hidayah oleh ALLAH dan merekalah orang-orang ulul albab’
(Surah Az-Zumar, 38:18)

Di zaman yang mana semua informasi dapat diperoleh hanya dengan hujung jari ini, umat Islam telah banyak terdedah dengan pelbagai pendapat dalam agama. Pengamalan dan ilmu agama ini sudah tidak lagi disempadankan dengan batasan daerah. Ramai yang berhijrah ke luar negara dan melihat dunia umat ini dengan kaca mata yang lebih luas. Maka, pendedahan terhadap kepelbagaian pendapat dan pengamalan dalam agama ini mustahil untuk ditepis dari singgah ke benak fikiran kita yang mungkin akhirnya menimbulkan kecelaruan dalam agama itu sendiri. Sesungguhnya ALLAH S.W.T, telah pun menitahkan seperti ayat di atas yang merupakan ayat yang sepatutnya menjadi pedoman hambaNYA dalam berhadapan dengan permasalahan seperti ini.Readmore.
Bab 1: Penjelasan Tafsiran Firman ALLAH di atas dari Kitab-Kitab Tafsir

Imam As-Syaukani dalam kitabnya Fathul Qadir menyebutkan, maksud ‘mendengar perkataan-perkataan dan mengikut mana yang baik’ seperti berikut; mereka adalah orang yang mendengar yang baik dan yang buruk lalu menceritakan yang baik dan meninggalkan yang buruk, mereka mendengar sesuatu dari Al-Qur’an dan selain dari Al-Qur’an lalu mengikut Al-Qur’an, dan mereka mendengar perkataan yang sengaja memudah-mudahkan dan mendengar perkataan yang berusaha ke arah kebenaran dan mengikut yang ke arah kebenaran. Ibnu Katsir pula menafsirkan bahawa yang dimaksudkan ‘dan merekalah orang yang diberi hidayah oleh ALLAH’ sebagai orang yang bersikap mendengar pendapat-pendapat dan penjelasan-penjelasan dan ALLAH menghubungkan mereka dengan kebenaran adalah orang-orang yang diberi petunjuk.‘Ulul Albab’ menurut Ibnu Katsir adalah orang yang memiliki aqal yang shahih.
Kesimpulannya bahawa, seseorang mestilah bersikap melihat dan meneliti penjelasan-penjelasan tentang sesuatu hal yang berkaitan dengan agama, dan menggunakan aqal yang sudah tentulah di dasari dengan ilmu untuk memilih yang terbaik. Daripada penjelasan ulama’-ulama’ di atas kita dapat tahu bahawa sikap taqlid buta dan ‘mengikut fatwa hati’ bukanlah sikap yang dituntun dalam agama bahkan bercanggah dengan perintah ALLAH. Sikap menutup telinga daripada mendengar dalil dan penjelasan adalah sikap yang tercela. Berikut saya akan jelaskan serba sedikit panduan dan rincian terhadap tafsiran di atas tentang pedoman memilih penjelasan. Secara literalnya pendapat dan penjelasan di sini dapat merangkumi dari dasar iaitu memilih agama mana yang benar sehinggalah ke fahaman-fahaman dan kesimpulan-kesimpulan feqah dari para Ulama’ yang bercanggah antara satu sama lain. Di sini saya ingin mengkhususkan pedoman dan memilih percanggahan-percanggahan pemikiran dalam agama sendiri. Perlu diingatkan bahawa saya tidak akan membahaskan secara mendalam, hanya sekadarnya untuk membuka minda para pembaca sekalian.

Bab 2 : Hidayah bermula dengan keikhlasan dalam mencari kebenaran

Sesungguhnya sesiapa yang ingin mendapatkan kebenaran di celah-celah kekusutan dan kecelaruan pemahaman-pemahaman yang ada, wajib dengan hati yang benar-benar ikhlas ingin mendapatkan kebenaran dalam agama ini. Kita tidak boleh sama sekali mengharapkan hidayah ini berpihak kepada keinginan kita. Jauh juga dari sikap sengaja mencari-cari pendapat dan pemahaman yang sesuai dengan impian kita. Misalnya, seseorang yang terbiasa melakukan suatu amalan yang sesat atau berfahaman dengan fahaman yang sesat, lalu dikhabarkan kepada dia tentang kesesatan itu lalu dia mencari kalau-kalau ada pemahaman dan dalil yang dapat di ‘tune’ kearah membenarkan dirinya, maka orang ini selama-lamanya tidak akan mendapat kebenaran. Firman ALLAH,

فَلَا وَرَبِّكَ لَا يُؤْمِنُونَ حَتَّى يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ لَا يَجِدُوا فِي أَنْفُسِهِمْ حَرَجًا مِمَّا قَضَيْتَ وَيُسَلِّمُوا تَسْلِيمًا
‘ Maka demi TuhanMu, mereka tidak akan beriman sebelum mereka menjadikan engkau (Muhammad) sebagai hakim dalam perkara yang mereka perselisihkan, (kemudian) TIDAK ADA RASA KEBERATAN DALAM HATI MEREKA TERHADAP KEPUTUSAN YANG ENGKAU BERIKAN, dan mereka beriman dengan sepenuhnya’
(Surah An-Nisa’, 4:65)

Di dalam ayat di atas jelas mengisyaratkan bahawa orang yang beriman seharusnya berlapang dada sebelum masuk dalam dunia hidayah yang akan memutuskan perselisihan antara mereka. Darsawarsa ini, ramai yang ingin berdebat dan mencari-cari dalil untuk memenangkan diri bukan kebenaran. Maka kita akan melihat apabila dia telah berazam dengan sesuatu lalu dijelaskan kepadanya dalil-dalil yang bercanggah dengan keyakinannya maka dia akan berkata ‘Oh, aku keliru dengan dalil engkau’. Lalu, apabila dia telah berjumpa dengan keterangan-keterangan songsang yang mungkin juga datang dari golongan agamawan maka dia akan kata ‘Alhamdulillah, aku telah berjumpa dengan penjelasan’. Selagi tidak ber jumpa orientasi penjelasan yang memenangkan keyakinannya maka selagi itulah dia akan berkata ‘Oh, aku masih keliru dengan dalil ini (hanya kerana menyanggahi keyakinannya). Sikap seperti ini hanya menjarakkan seseorang dari kebenaran.

Bab 3 : Memilih penjelasan dan pendapat yang bersandarkan dalil dan bukti

Di dalam sesuatu hal dalam agama, ada sahaja pendapat dan pemahaman yang sebahagiannya bersumber dari keterangan Al-Qur’an dan hadis-hadis nabi, dan sebahagian lain hanyalah pemikiran manusia dan maklumat-maklumat dongeng turun-temurun. Maka kita wajib memilih pendapat yang bersandarkan dalil dan bukan akal semata-mata. Ada juga yang menyandarkan pemahaman dan pendapat atas dalil, namun dalil tersebut adalah lemah atau palsu. Secara spesifiknya pendapat yang disandarkan kepada hadis-hadis dha’if , maudhu’ dan cerita-cerita israiliyyat (cerita-cerita Bani Israil). Contoh yang mudah, ada sebahagian Ustaz, bahkan keyakinan ini yang berlegar di Malaysia, mengatakan bahawa iblis ini asalnya malaikat dan dia adalah ketua malaikat. Ada keterangan lain yang mengatakan, bahawa iblis ini berasal dari jin. Keyakinan ini bersandarkan pada Firman ALLAH yang berikut,

وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلَائِكَةِ اسْجُدُوا لِآَدَمَ فَسَجَدُوا إِلَّا إِبْلِيسَ كَانَ مِنَ الْجِنِّ فَفَسَقَ عَنْ أَمْرِ رَبِّهِ
‘Dan apabila kami memerintahkan malaikat supaya sujud kepada Adam, maka mereka sujud, akan tetapi (apabila diperintahkan) iblis (dia menyanggahinya), sesungguhnya dia (Iblis) dari bangsa Jin, fasik terhadap urusan Tuhannya’
(Surah Al-Kahfi, 18:50)

Contoh di atas adalah contoh mudah. Banyak lagi contoh yang dapat kita semua lihat jika kita memiliki pola fikir untuk mencari tahu dalil dan bukti atas satu-satu dakwaan. Timbul persoalan , apa sahaja yang diperlukan dalil? Berikut ada beberapa hal yang akan saya sebutkan:

a) Semua perkara-perkara berkaitan ibadah khusus, aqidah, sifat-sifat ALLAH, perkara-perkara ghaib yang menyangkut hari akhirat, syurga, neraka dan sebagainya yang akal manusia tak akan dapat mengetahuinya melainkan dengan keterangan dari ALLAH. Maka berhentilah dari membuat apa-apa kenyataan tentang hal-hal di atas dan pilihlah kenyataan-kenyataan yang bersumberkan dalil. Firman ALLAH,

مَا كُنْتَ تَدْرِي مَا الْكِتَابُ وَلا الإيمَانُ وَلَكِنْ جَعَلْنَاهُ نُورًا نَهْدِي بِهِ مَنْ… …نَشَاءُ مِنْ عِبَادِنَا
‘… dan sesunggunya engkau tidak tahu tentang Kitab (Al-Qur’an) dan tidak juga tentang iman melainkan kami jadikannya (Al-Qur’an) cahaya yang KAMI beri petunjuk dengannya kepada hamba-hamba yang kami kehendaki…’
(Surah AS-Syura: 42:52)

Maka terkenal dalam kaedah Usuluddin kalimah ini ‘ Asal sesuatu ibadah( Ibadah khusus seperti solat, puasa, zakat, haji dsb) adalah haram dilakukan melainkan ada dalil yang menyuruhnya. (Al-Ahkam fi Usulil Ahkam karangan Imam Syafi’e rahimahullah)

b) Asal sesuatu hal dalam urusan dunia adalah boleh dilakukan dan boleh ditinggalkan melainkan ada dalil yang mengharamkan, memakruhkan, mensunnahkan dan mewajibkan. Sering orang terkeliru dengan menganggap bahawa urusan-urusan ibadah-ibadah khusus termasuk dalam bahagian kedua ini. Lalu ahli-ahli bid’ah yang jahil murakkab, apabila dikatakan kepada mereka jangan lagi berbuat ibadah ini dan itu kerana tiada dalil yang mensyariatkannya maka mereka kata, “bukankah asal sesuatu itu dibolehkan? Sehingga ada dalil mengharamkannya”. Ini adalah kesilapan yang sangat menjahanamkan ummah. Adapun urusan sehari-hari, misalnya kita tidak perlu cari dalil halalnya makan siomay, ketoprak, nasi kandar dan halalnya minum sirap, air teh dan lain-lain. Itu semua asalnya boleh. Jika ada makanan yang diharamkan maka akan turun dalil, contohnya babi dan arak. (sila lihat kitab Al-Ahkam fi Usulil Ahkam karangan Imam Syafi’e). Firman ALLAH;

وَلَا تَقُولُوا لِمَا تَصِفُ أَلْسِنَتُكُمُ الْكَذِبَ هَذَا حَلَالٌ وَهَذَا حَرَامٌ لِتَفْتَرُوا عَلَى …اللَّهِ الْكَذِبَ
‘Dan janganlah kamu mengatakan apa-apa dari lisan kamu ini halal dan ini haram untuk mengadakan kebohongan terhadap ALLAH…’
(Surah An-Nahl, 16:116)

Maka seseorang tidaklah boleh mengharamkan hal-hal kehidupan ini melainkan dengan dalil. Banyak lagi persoalan-persoalan yang perlu berdalil misalnya, ibadah yang sah kalau nak dikatakan batal oleh sesuatu hal maka pembatalan itu harus dengan dalil. Saya tidak dapat mendatang semua perkara itu. Dua prinsip di atas sudah mencukupi buat permulaan dan itulah yang paling banyak ditemukan dalam kehidupan seharian muslim.

Maka nilailah pendapat atau pemahaman atau keyakinan yang manakah yang berdalil dan yang manakah tidak berdalil. Ini adalah perkara asas dalam memilih yang terbaik. Berikutnya saya akan sambung artikel ini dikesempatan yang lain dalam menghuraikan hal-hal berikut;

a) Jika terjadi percanggahan-percanggahan pendapat yang masing-masing memiliki dalil, maka pilihlah yang mana pemahamannya selari dengan Rasulullah dan para Sahabat.

b) Pilih pendapat yang lebih menyeluruh perbahasan dalilnya dan tidak terperangkap hanya dengan satu-satu dalil.

c) Jika tidak jelas pemahaman dalil yang lebih menepati Nabi S.A.W dan para Sahabat maka pilihlah pendapat yang lebih memenuhi ruh umum dari Islam sendiri.

d) Jika masih terdapat pemahaman-pemahaman yang bercanggah walaupun kesemua syarat di atas telah dinilai, pilihlah yang mana paling mudah.

e) Boleh sahaja terjadi dalam sesuatu hal lebih dari satu kebenaran, dan masing-masing boleh jadi terbaik relatif kepada masa, tempat dan keadaan.

f) Berlapang dada terhadap urusan khilafiah dan furu’?… Apa itu khilafiah dan apa itu furu’?

g) Ganjaran ALLAH kepada hambaNYA yang berusaha memilih yang terbaik untuk pengamalan agamanya.

Nantikan sambunganya…..(to be continued)

Currently have 0 comments: