.
Latest News

Yang mana satu ek? Part 5

Thursday, June 04, 2009 , Posted by sunnahmania at Thursday, June 04, 2009




Assalamualaikum, saya memohon maaf atas kelewatan menyambung artikel ini. Sebelum saya mulai menulis artikel ini yang sebenarnya boleh dijadikan makalah, saya telah pisah-pisahkan perbincangannya kepada 10 Bab pada awalnya bagi memudahkan perbincangan dan saya bahagikan penulisannya kepada 5 Bahagian. Namun, di pertengahan penulisan saya dapati ada 2 Bab penting yang menyangkut metodologi memilih pendapat atau manhaj tarjih ini yang saya tertinggal. Oleh hal yang demikian, saya akan memasukkan perbincangan dua bab tambahan ini sebelum dua bab terakhir yang saya janjikan dalam artikel yang lepas.


FAYATTABI’UUNA AHSANAH: SATU METODOLOGI MEMILIH PENDAPAT
(PART V)

BAB 9: ADA PERBEZAAN YANG HAKIKATNYA VARIASI PENGAMALAN YANG KEDUA-DUANYA MEMILIKI TARAF YANG SAMA.


Persoalan seperti ini tidaklah banyak dalam perbahasan agama. Kes-kes seperti ini hanya menunjukkan variasi satu-satu amal yang boleh dipilih oleh kita. Wujudnya perbezaan pendapat atau ajaran ulama’ dalam hal seperti ini hakikatnya tidak mencerminkan pertembungan pendapat. Di dalam Ilmu Fiqh hal seperti ini dikenali sebagai “Ikhtilafut Tanawwu’” yakni khilaf yang pelbagai. Hal ini berbeza dengan ‘Ikhtilafut mudhaddaat’ yakni khilaf yang bertentangan. Maka dalam bab seperti ini dikenali istilah ‘taghayyur’ iaitu kebebasan memilih. ‘Taghayyur’ secara istilahnya ditakrifkan sebagai kebebasan individu beragama Islam untuk memilih mana-mana pendapat mazhab dan tidak terikat dengan satu Mazhab sahaja (sila rujuk buku Talfiq karangan Ustaz Mazlee Malik). Terdapat beberapa hal yang harus dititikberatkan dalam menyikapi perbezaan seperti ini:

a) Dalil yang menunjukkan adanya perbezaan seperti ini iaitu ikhtilaf tanawwu’ adalah seperti berikut: Perbezaan para sahabat tentang cara bacaan Al-Qur’an

Dari Abdullah bin Mas'ud Radhiyallahu 'anhu, ia berkata :"Saya mendengar seseorang membaca ayat yang saya pernah mendengar Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam membacanya berbeda dengan orang itu, maka saya pegang tangannya lalu saya bawa kehadapan Rasulullah S.A.W. Saya laporkan hal itu kepada baginda, namun saya melihat tanda tidak suka pada wajah baginda, dan baginda bersabda.

"Artinya : Kalian berdua bagus (bacaannya), jangan berselisih ! Sesungguhnya umat sebelum kalian berselisih lalu mereka binasa"
(HR Bukhari)


Ulama yang paling baik menulis masalah ikhtilaf tanawwu’ ini dan menjelaskannya adalah Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah Rahimahullah, yaitu ketika beliau berkata : "Ikhtilaf tanawwu' ada beberapa macam, diantaranya adalah ikhtilaf yang masing-masing dari kedua perkataan (pendapat) atau perbuatan itu benar sesuai syari'at, seperti bacaan (Al-Qur'an) yang diperselisihkan itu dicegah oleh Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam. Rasulullah Shallalahu 'alaihi wa sallam bersabda.

"Artinya : Kalian berdua bagus/benar (bacaannya)"

Dalil ini menunjukkan bahawa meskipun wujud dua pendapat, kedua-duanya benar dan memiliki kesamaan dalam darjat pengamalannya. Selain hadis ini ada juga
hadis tentang Bani Khuraizah dalan Shahih Bukhari di mana Nabi S.A.W mengiakan dua pendapat para sahabat.

b) Antara khilaf jenis ini adalah macam-macam sifat adzan, iqamah, do'a iftitah, tasyahhud, shalat khauf, takbir ied, takbir jenazah, dan lain-lain yang semuanya disyari'atkan, meskipun dikatakan bahawa sebagiannya lebih afdhal. Jadi memilih yang mana satu pun tidak menjadi masalah, kerana semuanya benar. Ada juga melibatkan khilaf antara ulama’, akan tetapi hujjah mereka masing-masing sangat kuat dan ulama’-ulama’ besar pula berbeza-beza dalam hal ini. Contohnya:
turun ke sujud dari I’tidal, adakah lutut dahulu atau tangan yang dahulu dan penetapan Hari Raya Idul Adha berdasarkan anak bulan setempat atau hari wukuf di Mekah. Maka, dalam hal ini kita tidak boleh berkeras dan taksub dengan satu-satu pendapat dan mengatakan dengan keras sesuatu itu lebih benar dari yang lain dan menghabiskan waktu berdebat tentangnya. Yang harus dilakukan adalah meneliti kebenaran kedua hujjah tersebut dan pilihlah yang mana satu. Boleh sahaja beramal dengan kedua-duanya dengan berganti-ganti juga. Dilarang sama sekali taksub dengan mana-mana ulama’ atau mazhab.


c) Harus diyakini bahawa kesemua dalil untuk pendapat-pendapat itu adalah dari Nabi S.A.W. dan mesti diikuti dan jangan diubah-ubah. Dalam bacaan ruku’ misalnya, kita akan dapati Nabi S.A.W mencontohkan lebih dari satu bacaan. Sebahagian ulama’ boleh sahaja mengetahui bacaan lain dari hadis Nabi S.A.W yang tidak diketahui oleh sebahagian yang lain disebabkan jangkauan mereka terhadap Kitab Hadis dan perawi berbeza-beza. Ada juga amalan-amalan zikir yang tidak spesifik diajarkan Nabi S.A.W, maka kita dapatlah mengambil riwayat dari para sahabat. Misalnya dalam hal takbir raya, Ibnu Mas’ud dan Ibnu Abbas bertakbir dengan bacaan yang berbeza. Hal seperti ini bukanlah pertembungan pendapat, tetapi hanya contoh amalan yang boleh kita pilih salah satu daripadanya. Yang penting adalah perbezaan ini mestilah bersumber dari wujudnya hadis-hadis dari Rasululullah yang menunjukkan Baginda sendiri mengamalkan atau mengiakan kedua-dua perbezaan tersebut.


d) Kebanyakan orang masih terkeliru memilih pendapat yang lebih baik dari hadis shahih. Misalnya, terkenal dalam masyarakat kita doa makan versi berikut;

اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيمَا رَزَقْتَنَا وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
‘ALLAHUMMA BARIKLANA FIMA RAZAQTANA WAQINA ‘AZABAN NAR
(Ya ALLAH, Berkatilah apa yang kamu rezkikan kami dan jauhilah kami dari api neraka)’
(HR Imam Malik dalam Muwatto’)


Amalan doa sebelum makan di atas ini HANYALAH amalan seorang dua sahabat dan tidak disandarkan pada Nabi S.A.W. Doa ini adalah dari ‘Urwah bin Zubair dan dalam riwayat lain dari Saidina Ali. Hal seperti ini disebut sebagai hadis maqtu’ (terputus dari Nabi S.A.W). Maka kebanyakkan ulama’ mendhaifkan amalan ini. Akan tetapi inilah yang diajarkan dengan meluas di Malaysia. Usatazah yang mengajar tadika saya juga mengajarkan hal ini. Dari sekolah rendah sampai menengah juga inilah ajarannya. Yang anehnya lagi, doa ini hanya potongan dari doa panjang dalam amalan sahabat itu.


Doa sebelum makan yang tsabit (yang jelas disandarkan pada Nabi S.A.W) adalah seperti berikut;


قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ أَطْعَمَهُ اللَّهُ الطَّعَامَ فَلْيَقُلْ اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيهِ وَأَطْعِمْنَا خَيْرًا مِنْهُ

‘Rasulullah S.A.W bersabda “Sesiapa yang diberi ALLAH makan, lalu dia hendak makan maka doalah ALLAHUMMA BARIKLANA FIHI WA AT’IMNA KHAIRAN MINHU
(Ya ALLAH, berkatilah pada makanan ini dan berilah kami makan yang lebih baik darinya)’
(Hadis Shahih Riwayat Tirmizi)


Saya sangat hairan, dengan lambakan lulusan agama di Malaysia sejak sebelum merdeka dan lepas merdeka ini, kebenaran ini hanya saya ketahui 10 tahun yang lepas apabila menekuni pengajian agama dari ulama’-ulama’ Ahlus Sunnah Wal Jamaah seperti Dr. Asri, Dr. Radhi, Ust. Rasul Dahri, Maulana Ustaz Asri Yusuf dan yang lain-lain. Alhamdulillah, diharapkan usaha-usaha sunnah ini dapat mencelikkan dari kebutaan nyata seperti ini. Satu lagi keanehan adalah doa iftitah yang diajar di sekolah-sekolah, saya minta pembaca cari sendiri dalil doa iftitah dan anda akan menjumpai sesuatu yang ‘Pelik…. Tapi benar’ iaitu doa iftitah yang diajar dalam PAFA (Penilaian Asas Fardhu ‘Ain) ada satu inovasi doa dari doa-doa Nabi S.A.W yang asal. Versi doa sunnah yang ringkas pula tidak diambil peduli. Itulah nasib Islam di Malaysia.

Maka diharapkan jelaslah prinsip ini iaitu, ada pendapat yang boleh dipilih salah satu kerana kedua-duanya benar dari Nabi S.A.W. Kendatipun, hati-hati dengan sandaran-sandaran yang lemah dan tidak bersumber dari Nabi S.A.W


BAB 10: KELUAR DARI KHILAF ITU DISUKAI


Saya telah berbicara panjang dalam 9 bab sebelum ini tentang pedoman berhadapan dengan kepelbagaian pendapat-pendapat dan perbezaan ijtihad-ijtihad dalam agama. Prinsip berikutnya ini adalah antara yang penting dipegang dan disedari oleh setiap muslim iaitu ‘Khuruj minal ikhtilafi mustahaab’ bermaksud ‘keluar dari khilaf itu disukai’. Prinsip ini disebut banyak ulama’, antaranya Ibnu Taimiyyah dalam Majmu’ Fatawa. Prinsip seperti ini hanya berlaku untuk kes-kes perbezaan pendapat dalam perihal seseorang boleh meninggalkan sesuatu amalan yang didebatkan para ulama’ status hukum hakamnya. Contohnya banyak. Saya bawakan sebahagiannya tanpa perincian dalil kerana bukan di sini untuk dikupas dalil-dalilnya:


a) Persoalan isbal yakni pakaian lelaki yang melebihi buku lali (malleolus bahasa anatominya). Telah jelas hadis Nabi S.A.W melarang lelaki memakai pakaian, sama ada seluar ataupun jubah melebihi buku lali. Akan tetapi ulama’ berbeza pendapat, adakah larangan ini mengandung sebab (terminology feqahnya- ‘illah) iaitu mengelakkan kesombongan. Adakah larangan ini bersifat menghindarkan kesombongan ? Adakah kerana adat budaya arab pakaian melebihi buku lali membawa kesombongan? Persoalan seperti ini tidak mendapat jawapan yang putus. Akan tetapi seseorang boleh sahaja keluar dari khilaf ini dan tidak mengenakan pakaian yang melabuh di bawah buku lali. Hal ini menghindarkannya dari terjebak dalam khilaf ini. Namun jika dia harus kenakan pakaian yang melabuh ke bawah buku lali seperti pakaian seragam dan pakaian keselematan maka tidak menjadi masalah jika di memilih pendapat yang membolehkan isbal.


b) Penggunaan tasbih (untaian biji-biji an) untuk menghitung zikir. Dalam persoalan ini ada dua pendapat, ada yang mengatakan tasbih itu sama sekali perkara baru (bid’ah) dalam agama dan ada yang berpendapat tasbih itu hanya alat atau media mengira zikir. Pendapat yang kedua ini menggunakan dalil dari amalan seorang dua sahabat dan ulama’ salaf yang menghitung zikir dengan biji kurma. Tasbih ini tidak ada nilai dari sisi syara’ tetapi hanya medium menurut mereka. Pendapat yang pertama pula membantah keras pendapat yang kedua. Meskipun kedua-duanya memiliki sandaran hujjah, namun lebih baiklah bagi seseorang keluar dari perdebatan ini dengan berzikir menggunakan ruas jari seperti yang disabdakan Nabi S.A.W dalam Hadis Hasan Riwayat Imam Tirmizi. Hal ini disebabkan, kedua-dua pihak sepakat mengatakan berzikir dengan jari adalah sunnah, tetapi berbeza dalam hal tasbih. Adalah baiknya kita ambil sahaja bahagian dari amalan ini yang disepakati sunnahnya.

c) Pengharaman alat muzik dan nyanyian juga mengundang polemik yang tidak berkesudahan sejak dari zaman salafus soleh sehingga hari ini. Sungguhpun majoriti Ulama’ (jumhur ulama’) mengharamkan alat muzik dan nyanyian, masih terdapat hujjah-hujjah yang kuat mendokong pendapat bolehnya mendengar nyanyian dan irama dari alat muzik. Dr. Yusuf Al-Qaradhawi dalam kitabnya ‘Al-Ma’azif’ dan ‘Al-Halal wal Haram’ menyebutkan sejumlah dalil dan hujjah tentang dibolehkan nyanyian dan alat muzik. Hanya bagi seseorang, keluar dari khilaf adalah baik dan mengambil pendekatan meminimalkan mendengar muzik dan nyanyian yang tidak berfaedah, dan beralih kepada mendengar Al-Qur’an dan berzikir kepada ALLAH dan juga digalakkan mendengar nyanyian-nyanyian nasyid serta lagu-lagu bermanfaat adalah lebih disukai. Hal ini disebabkan tidak mendengar nyanyian dan menggunakan alat muzik disepakati tidak menjadi masalah. Akan tetapi, mendengar nyanyian itulah yang menjadi persoalan. Oleh hal yang demikian lebih baik bagi mania-mania lagu yang hampir setiap hari menjadi lagu sebagai zikirnya dan alunan lagu sebagai ‘Qur’an’nya beralih kepada zikrullah dan alunan Al-Qur’an yang nyata. Mendengar muzik dan nyanyian yang tidak bermanfaat juga bahagian dari perkara lagho yakni sia-sia dalam agama. Kalau nak dengar pun, pilih-pilihlah yang berunsur manfaat seperti nasyid atau lagu-lagu nasihat dengan harapan kuranglah jurang khilaf dalam hal ini.

Saya mengharapkan dua bab yang dibahaskan kali ini bermanfaat buat pembaca sekalian. InsyaALLAH sesudah ini saya akan sambung bahagian akhir dari siri perbincangan ini insyaALLAH. Terima kasih.

Currently have 0 comments: