.
Latest News

Yang Mana Satu ek? Part 4

Tuesday, May 26, 2009 , Posted by sunnahmania at Tuesday, May 26, 2009




FAYATTABI’UUNA AHSANAH: SATU KUPASAN METODOLOGI MEMILIH PENDAPAT
(PART IV)




BAB 7: MEMILIH PENDAPAT YANG MUDAH ANTARA DUA PENDAPAT YANG KUKUH SANDARAN DALILNYA

Prinsip berikutnya yang boleh dijadikan panduan dalam berhadapan dengan perbezaan pendapat adalah memilih yang lebih mudah untuk dilaksanakan. Sudah tentulah metodologi ini hanya bagi pendapat dalam menyimpulkan hukum-hakam atau kesimpulan-kesimpulan syara’ yang berkaitan dengan perlaksanaan sehari-hari. Prinsip ini bertitik-tolak daripada dalil-dalil berikut: .
a) Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman,


يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ

“Allah menghendaki kemudahan bagimu dan Dia tidak ingin menyulitkanmu.” (Al-Baqarah, 2:185)

b) Aisyah Radhiyallahu ‘Anha berkata, “Apabila Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam disuruh memilih di antara dua perkara, niscaya beliau memilih yang lebih mudah di antara keduanya, selama itu tidak dosa. Adapun jika itu adalah dosa, maka beliau adalah orang yang paling jauh dari dosa.” (Muttafaq Alaih- Disepakati keshahihannya oleh Bukhari dan Muslim)
c) Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam bersabda,

يَسِّرُوا وَلَا تُعَسِّرُوا وَبَشِّرُوا وَلَا تُنَفِّرُوا .
“Mudahkanlah dan jangan kalian mempersulit. Sampaikanlah kabar gembira dan jangan membuat mereka lari.” (Muttafaq Alaih)

Ayat-ayat di atas mengandung maksud bahawa antara dasar agama ini adalah memudahkan penganutnya. Kata Dr.Yusuf Al-Qaradhawi dalam bukunya Taysirul Fiqh lil Muslim fi Mu’ashhir (Mempemudah fekah untuk umat kontemporari):



"Memilih yang lebih mudah (taysir) dalam melaksanakan ajaran agama merupakan suatu keharusan, kerana hal ini merupakan sesuatu yang dituntut oleh syariat itu sendiri. Bukan disebabkan tuntutan realiti semasa atau menyesuaikan dengan zaman, sebagaimana yang disangka oleh sebagian orang. Pada dasarnya syariat Islam berdiri di atas prinsip kemudahan dan keringanan, sebagaimana disebutkan dengan sangat jelas dalam ayat-ayat Al-Qur‘an dan Sunnah nabawiyah."
Sememangnya ada kemungkinan wujudnya kesimpulan hukum-hakam yang sama-sama memiliki sisi kebenarannya. Hal ini telah pun wujud zaman sahabat lagi sehingga sebahagian Ulama’ ada yang berkomentar bahawa Ibnu ‘Abbas terkenal dengan fiqh yang lebih mudah jika hendak dibandingkan dengan Ibnu Mas’ud. Maka tidak hairanlah jika ada sahaja satu-satu kesimpulan hukum hakam dari Ulama’ kemudian juga mempertembungkan kebenaran yang mana salah satunya lebih mudah dari yang lain.

Misalnya, dalam urusan wajib atau tidak ma’mum membaca Al-Fatihah dibelakang imam dalam solat jemaah pada rakaat yang dinyaringkan bacaannya. Bagi yang memilih untuk membaca Al-Fatihah kadang-kadang timbul banyak persoalan-persoalan seperti bagaimana kalau tidak sempat membaca, bila waktu yang sesuai, kenapa imam tidak diam sejenak dan sebagainya. Sedangkan ada yang berpendapat bacaan imam adalah bacaan ma’mum sehingga ma’mum tidak lagi perlu membaca Fatihah sendiri. Jika kita telusuri dalil-dalil dua pendapat ini (saya tak bawakan di sini), kita akan mendapati kedua-duanya memiliki sandaran hujjah yang sukar untuk dipertikai dan masing-masing ada ulama’ muktabar dan mujtahid yang mendukungnya. Jika hal ini dipersembahkan untuk saya pilih, pasti saya akan pilih mana yang lebih mudah untuk saya laksanakan iaitu pendapat kedua yang mengatakan ma’mum tak wajib baca Al-Fatihah setelah imam membacanya. Ini adalah salah satu contoh pertembungan yang masing-masing memiliki hujjahnya dan kita dapat memilih yang mudah.
Akan tetapi perlu diingatkan beberapa hal seperti berikut:

a) Agama itu mudah bukan dipermudah-mudahkan. Ramai yang mungkin salah faham hal ini. Mempermudah-mudahkan agama adalah mengambil mudah urusan agama disebabkan dorongan hawa nafsu dan bukan kerana keimanan dan keilmuan ingin mencontohi nabi dalam memilih kemudahan dan memudahkan urusan umat ini.

b) Mestilah pertembungan yang membawa memilih yang mudah itu kedua-duanya memiliki dalil yang kuat dan kedua-duanya benar disisi syara’. Lafaz hadis di atas ‘bukan dalam urusan dosa’ menunjukkan bahawa perkara yang diharuskan memilih yang mudah mestilah perkara haq dan shahih, bukannya yang batil kerana memilih kemudahan yang batil adalah dosa. Misalnya, di sana ada pandangan batil beberapa Ulama’ tentang urusan jilbab (tudung bagi wanita). Disebabkan mereka manusia biasa, terjerumus dalam kesalahan adalah perkara yang tak mungkin dielakkan. Tinggal kita yang harus menilai dengan penilaian yang tepat. Ibni ‘Asyur antara ulama’ tafsir yang terkenal dengan ‘Tafsir Ibni ‘Asyur’, mengatakan bahawa jilbab tidak wajib bagi wanita kerana ianya hanya perintah ALLAH berkaitan dengan budaya Arab. Ulama’ ini mengemukan sandaran hujjah yang lemah dan telah disepakati kebatilannya dalam hal ini. Namun, tetap sahaja dipopularkan oleh orang-orang yang salah faham bahawa di sana ada pendapat ulama’ yang memudahkan wanita dalam urusan jilbab dan aurat. Astora Jabat pernah menggemparkan negara dengan isu ini. Hal ini umpama ‘pucuk dicita ulam mendatang’ bagi wanita free hair. Hanya sekadar ‘ada ulama’ kata boleh’ bukanlah menjadi sebab kita boleh memilih pendapat itu kerana lebih mudah, tetapi wajib pendapat atau kesimpulan hukum itu disandarkan pada nas dan dalil yang jelas dan kuat. Begitu juga haram bagi kita menganggap nikah mut’ah (nikah kontrak) syi’ah jalan keluar bagi gejolak nafsu dalam keadaan susah untuk menikah secara syar’i. Terdapat mahasiswa-mahasiswi di luar negara bersekedudukan sepanjang tempoh belajar dan menikah tanpa izin wali seperti ajaran songsang syiah. Kita tidak boleh menganggap ini option bagi kita dalam urusan pernikahan.
c) Nilailah dahulu pertembungan pendapat ini berdasarkan neraca-neraca sebelum ini seperti melihat ada tidaknya dalil, pemahaman dalil yang shahih, melihat menyeluruh tidaknya perbahasan dan melihat keserasian dengan roh Islam sebelum sampai ke prinsip ini. Rumus-rumus pada bab 3,4,5 dan 6 memiliki pemberat yang lebih diutamakan sebelum rumus ini. Hal ini disebabkan rumus-rumus itu lebih merujuk kepada validity pendapat itu sendiri, sedangkan rumus bab ini merujuk kepada keharusan kita dalam memilih dua pendapat yang valid. Tak mungkin kita memilih pendapat yang mudah tetapi pendapat itu tanpa dalil atau pemahaman dalilnya tidak tepat.
Maka, jelaslah perbincangan tentang panduan berikutnya iaitu jika bertembung dua pendapat yang sama kuat perbahasan dalilnya pilihlah yang mana lebih mudah pengamalan kerana itu lebih mendekati sunnah dan konsep kemudahan dalam Islam.


BAB 8: ADA KETIKA YANG LEBIH BAIK ANTARA KEDUA KEBENARAN ADALAH RELATIF

Kita harus tahu bahawa para Ulama’ menyimpulkan hukum hakam bukan sahaja dengan dalil Al-Qur’an dan sunnah semata-mata, tetapi mereka harus menilai objek yang dihukumi. Perkembangan hal-hal yang perlu kepada hukuman ulama’ ini relatif kepada masa, zaman, tempat dan budaya. Maka di sana dalam Usul Fiqh (ilmu mengatur cara hukum-hakam) adanya istilah ‘dalil-dalil tidak disepakati’ iaitu sistem-sistem yang mengatur pemahaman terhadap isu yang hendak dihukumi seperti ‘uruf (budaya setempat). Sudah tentu hal seperti ini juga hanya bersangkut paut urusan feqah. Contohnya, ada ulama’-ulama’ terdahulu sepakat 4 mazhab mengatakan haram transfusi darah. Sekarang fatwa berubah lagi membolehkan transfusi darah. Hal ini disebabkan, ilmu perubatan sebelum ini belum menemui antigen-antibodi sehingga sejumlah besar transfusi darah berahkhir dengan kematian. Maka, ulama’ menyimpulkan perbuatan transfusi darah membahayakan nyawa manusia. Perkembangan mutakhir meniadakan masalah ini sehingga, tidak timbul lagi incompatibility antigen-antibody yang boleh berakibat kematian. Oleh itu pertembungan pendapat ini relatif kepada zaman. Oleh sebab itu terkenal istilah ‘Fatwa berubah mengikut masa dan tempat’.
Satu contoh lagi, sebahagian Ulama’ seperti Syeikh Bin Baz dan Ibnu Utsaimin mengharamkan wanita memakai seluar kerana perintah nabi tentang larangan wanita menyerupai lelaki. Sebenarnya ‘menyerupai lelaki’ ini sangat relatif dan mesti ditafsirkan oleh budaya setempat dan bukannya universal. Misalnya, di negara Arab sendiri, jubah adalah pakaian lelaki dan perempuan. Sedangkan lelaki sahaja yang biasa pakai seluar. Oleh hal yang demikian di daerah arab, wanita yang memakai seluar sering mengundang kecurigaan setempat. Suasana ini tidak seperti di Malaysia, yang mana seluar adalah pakaian lelaki dan wanita. Wanita yang memakai seluar (sudah tentulah seluar yang tidak menampakkan bentuk tubuh) tidak mengundang kecurigaan. Di pasaraya-pasaraya, ada beza pun cutting seluar lelaki dan seluar wanita seperti halnya cutting jubah lelaki dan jubah wanita di Arab. Kesimpulannya, fatwa ini boleh apply di daerah atau wilayah-wilayah Arab tertentu sahaja dan janganlah dipaksakan di Malaysia dengan kenyataan ‘Ini pendapat dan ijtihad ulama2 muktabar’. Ulama’ atau mufti-mufti di Malaysia walaupun sangatlah tidak sehebat ulama2 di Arab, tetapi dalam urusan ini, fatwa dan ijtihad mereka lebih menepati keadaan budaya dan kondisi setempat.


Secara garis besarnya, ada pendapat-pendapat yang kelihatan bertembung, tetapi kedua-duanya lebih baik untuk diikuti relatif kepada zaman, tempat dan budaya masing-masing. Artikel ini akan bersambung dengan bahagian terakhir yang membahaskan tentang apa itu perkara furu’(cabang) dan usul (tunjang) dan ganjaran ALLAH kepada hamba yang berusaha memilih pendapat. Mudah-mudahan ALLAH merezkikan kita hidayah di jalannya. Terima kasih.

Currently have 0 comments: