.
Latest News
Posted by sunnahmania on Tuesday, May 26, 2009 , under | comments (0)






Assalamualaikum, saya sebagai editor memohon maaf atas kelewatan mengupdate blog ini. 2 minggu bergelut dengan masalah kesihatan ditambah kesibukkan menguruskan program rehlatul wida' (Rehlah Perpisahan) membuatkan kami tidak sempat mengupdate blog ini. Namun, kunjungan terus memberangsangkan alhamdulillah sehingga jumlah kunjungan sekarang mencecah 4000.

Disebabkan beberapa aduan yang telah kami terima berikutan blog ini disifatkan 'heavy' oleh sebahagian pengunjung terutama dari Jakarta (kerana kelajuan internet kita masih tidak sebarapa) maka kami ingin mengurangkan box ta'lim esnips hanya kepada satu box sahaja. Ta'lim ABC yang telah mencapai siri terakhirnya untuk dikongsi diblog ini akan dipindahkan ke laman web 4shared. Bagi sesiapa yang berminat boleh mendownloadnya di 4shared. Antara ta'limABC yang di upload di 4shared adalah: Sila Klik Link Berikut: ta'lim ABC atau ke column khusus yg telah kami sediakan di sebelah kanan anda.

a) Benarkah imanku?
b) Signatures of God In The Qur'an
c) Human errors in bible and authenticity of hadeeth
d) Thoriq ila ma'rifatillah (Jalan2 Mengenal ALLAH)
e) Mawani' fi Ma'rifatillah ( Penghalang2 Mengenal ALLAH) Part 1 and 2
f) Memahami hadis-hadis berkaitan kerasulan Nabi s.a.w



Selain itu, ta'lim2 para ulama' seperti shahih bukhari juga akan di pindahkan ke 4shared bagi sesiapa yang berminat mendownload. Semua update ta'lim boleh didengar di ruangan esnips di blog. Apabila ada update terbaru, ta'lim2 yang lama akan dipindahkan ke 4shared bagi pengunjung yang terlepas mendengar boleh mendownload. InsyaALLAH akan disediakan link bagi memudahkan pengunjung untuk mengakses ke file ta'lim.






Kita juga akan memulakan kempen kepada kitab tauhid Fathul Majid. Akan disediakan ta'lim Syeikh Yazid yang mensyarahkan kitab ini dan kami akan berusaha mendapatkan kitab ini dalam format e-book untuk memudahkan pengunjung membuat rujukan sambil menimba ilmu dari ta'lim syarah kitab tersebut.





Jangan lupa juga layari YouTube sunnahmania kami untuk mendapatkan ceramah Syeikh Amir Abdat tentang 'Keutamaan Sahabat' dan 'Firqoh-Firqoh Sesat'. Video 'Firqoh-Firqoh' sesat ini membahaskan tentang aliran-aliran utama yang menyesatkan umat ini dari jalan Ahlus Sunnah Wal Jama'ah. Mudah-mudahan kita semua mendapat manfaat insyALLAH. Terima Kasih.
.







Yang Mana Satu ek? Part 4

Posted by sunnahmania on , under | comments (0)






FAYATTABI’UUNA AHSANAH: SATU KUPASAN METODOLOGI MEMILIH PENDAPAT
(PART IV)




BAB 7: MEMILIH PENDAPAT YANG MUDAH ANTARA DUA PENDAPAT YANG KUKUH SANDARAN DALILNYA

Prinsip berikutnya yang boleh dijadikan panduan dalam berhadapan dengan perbezaan pendapat adalah memilih yang lebih mudah untuk dilaksanakan. Sudah tentulah metodologi ini hanya bagi pendapat dalam menyimpulkan hukum-hakam atau kesimpulan-kesimpulan syara’ yang berkaitan dengan perlaksanaan sehari-hari. Prinsip ini bertitik-tolak daripada dalil-dalil berikut: .
a) Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman,


يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ

“Allah menghendaki kemudahan bagimu dan Dia tidak ingin menyulitkanmu.” (Al-Baqarah, 2:185)

b) Aisyah Radhiyallahu ‘Anha berkata, “Apabila Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam disuruh memilih di antara dua perkara, niscaya beliau memilih yang lebih mudah di antara keduanya, selama itu tidak dosa. Adapun jika itu adalah dosa, maka beliau adalah orang yang paling jauh dari dosa.” (Muttafaq Alaih- Disepakati keshahihannya oleh Bukhari dan Muslim)
c) Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam bersabda,

يَسِّرُوا وَلَا تُعَسِّرُوا وَبَشِّرُوا وَلَا تُنَفِّرُوا .
“Mudahkanlah dan jangan kalian mempersulit. Sampaikanlah kabar gembira dan jangan membuat mereka lari.” (Muttafaq Alaih)

Ayat-ayat di atas mengandung maksud bahawa antara dasar agama ini adalah memudahkan penganutnya. Kata Dr.Yusuf Al-Qaradhawi dalam bukunya Taysirul Fiqh lil Muslim fi Mu’ashhir (Mempemudah fekah untuk umat kontemporari):



"Memilih yang lebih mudah (taysir) dalam melaksanakan ajaran agama merupakan suatu keharusan, kerana hal ini merupakan sesuatu yang dituntut oleh syariat itu sendiri. Bukan disebabkan tuntutan realiti semasa atau menyesuaikan dengan zaman, sebagaimana yang disangka oleh sebagian orang. Pada dasarnya syariat Islam berdiri di atas prinsip kemudahan dan keringanan, sebagaimana disebutkan dengan sangat jelas dalam ayat-ayat Al-Qur‘an dan Sunnah nabawiyah."
Sememangnya ada kemungkinan wujudnya kesimpulan hukum-hakam yang sama-sama memiliki sisi kebenarannya. Hal ini telah pun wujud zaman sahabat lagi sehingga sebahagian Ulama’ ada yang berkomentar bahawa Ibnu ‘Abbas terkenal dengan fiqh yang lebih mudah jika hendak dibandingkan dengan Ibnu Mas’ud. Maka tidak hairanlah jika ada sahaja satu-satu kesimpulan hukum hakam dari Ulama’ kemudian juga mempertembungkan kebenaran yang mana salah satunya lebih mudah dari yang lain.

Misalnya, dalam urusan wajib atau tidak ma’mum membaca Al-Fatihah dibelakang imam dalam solat jemaah pada rakaat yang dinyaringkan bacaannya. Bagi yang memilih untuk membaca Al-Fatihah kadang-kadang timbul banyak persoalan-persoalan seperti bagaimana kalau tidak sempat membaca, bila waktu yang sesuai, kenapa imam tidak diam sejenak dan sebagainya. Sedangkan ada yang berpendapat bacaan imam adalah bacaan ma’mum sehingga ma’mum tidak lagi perlu membaca Fatihah sendiri. Jika kita telusuri dalil-dalil dua pendapat ini (saya tak bawakan di sini), kita akan mendapati kedua-duanya memiliki sandaran hujjah yang sukar untuk dipertikai dan masing-masing ada ulama’ muktabar dan mujtahid yang mendukungnya. Jika hal ini dipersembahkan untuk saya pilih, pasti saya akan pilih mana yang lebih mudah untuk saya laksanakan iaitu pendapat kedua yang mengatakan ma’mum tak wajib baca Al-Fatihah setelah imam membacanya. Ini adalah salah satu contoh pertembungan yang masing-masing memiliki hujjahnya dan kita dapat memilih yang mudah.
Akan tetapi perlu diingatkan beberapa hal seperti berikut:

a) Agama itu mudah bukan dipermudah-mudahkan. Ramai yang mungkin salah faham hal ini. Mempermudah-mudahkan agama adalah mengambil mudah urusan agama disebabkan dorongan hawa nafsu dan bukan kerana keimanan dan keilmuan ingin mencontohi nabi dalam memilih kemudahan dan memudahkan urusan umat ini.

b) Mestilah pertembungan yang membawa memilih yang mudah itu kedua-duanya memiliki dalil yang kuat dan kedua-duanya benar disisi syara’. Lafaz hadis di atas ‘bukan dalam urusan dosa’ menunjukkan bahawa perkara yang diharuskan memilih yang mudah mestilah perkara haq dan shahih, bukannya yang batil kerana memilih kemudahan yang batil adalah dosa. Misalnya, di sana ada pandangan batil beberapa Ulama’ tentang urusan jilbab (tudung bagi wanita). Disebabkan mereka manusia biasa, terjerumus dalam kesalahan adalah perkara yang tak mungkin dielakkan. Tinggal kita yang harus menilai dengan penilaian yang tepat. Ibni ‘Asyur antara ulama’ tafsir yang terkenal dengan ‘Tafsir Ibni ‘Asyur’, mengatakan bahawa jilbab tidak wajib bagi wanita kerana ianya hanya perintah ALLAH berkaitan dengan budaya Arab. Ulama’ ini mengemukan sandaran hujjah yang lemah dan telah disepakati kebatilannya dalam hal ini. Namun, tetap sahaja dipopularkan oleh orang-orang yang salah faham bahawa di sana ada pendapat ulama’ yang memudahkan wanita dalam urusan jilbab dan aurat. Astora Jabat pernah menggemparkan negara dengan isu ini. Hal ini umpama ‘pucuk dicita ulam mendatang’ bagi wanita free hair. Hanya sekadar ‘ada ulama’ kata boleh’ bukanlah menjadi sebab kita boleh memilih pendapat itu kerana lebih mudah, tetapi wajib pendapat atau kesimpulan hukum itu disandarkan pada nas dan dalil yang jelas dan kuat. Begitu juga haram bagi kita menganggap nikah mut’ah (nikah kontrak) syi’ah jalan keluar bagi gejolak nafsu dalam keadaan susah untuk menikah secara syar’i. Terdapat mahasiswa-mahasiswi di luar negara bersekedudukan sepanjang tempoh belajar dan menikah tanpa izin wali seperti ajaran songsang syiah. Kita tidak boleh menganggap ini option bagi kita dalam urusan pernikahan.
c) Nilailah dahulu pertembungan pendapat ini berdasarkan neraca-neraca sebelum ini seperti melihat ada tidaknya dalil, pemahaman dalil yang shahih, melihat menyeluruh tidaknya perbahasan dan melihat keserasian dengan roh Islam sebelum sampai ke prinsip ini. Rumus-rumus pada bab 3,4,5 dan 6 memiliki pemberat yang lebih diutamakan sebelum rumus ini. Hal ini disebabkan rumus-rumus itu lebih merujuk kepada validity pendapat itu sendiri, sedangkan rumus bab ini merujuk kepada keharusan kita dalam memilih dua pendapat yang valid. Tak mungkin kita memilih pendapat yang mudah tetapi pendapat itu tanpa dalil atau pemahaman dalilnya tidak tepat.
Maka, jelaslah perbincangan tentang panduan berikutnya iaitu jika bertembung dua pendapat yang sama kuat perbahasan dalilnya pilihlah yang mana lebih mudah pengamalan kerana itu lebih mendekati sunnah dan konsep kemudahan dalam Islam.


BAB 8: ADA KETIKA YANG LEBIH BAIK ANTARA KEDUA KEBENARAN ADALAH RELATIF

Kita harus tahu bahawa para Ulama’ menyimpulkan hukum hakam bukan sahaja dengan dalil Al-Qur’an dan sunnah semata-mata, tetapi mereka harus menilai objek yang dihukumi. Perkembangan hal-hal yang perlu kepada hukuman ulama’ ini relatif kepada masa, zaman, tempat dan budaya. Maka di sana dalam Usul Fiqh (ilmu mengatur cara hukum-hakam) adanya istilah ‘dalil-dalil tidak disepakati’ iaitu sistem-sistem yang mengatur pemahaman terhadap isu yang hendak dihukumi seperti ‘uruf (budaya setempat). Sudah tentu hal seperti ini juga hanya bersangkut paut urusan feqah. Contohnya, ada ulama’-ulama’ terdahulu sepakat 4 mazhab mengatakan haram transfusi darah. Sekarang fatwa berubah lagi membolehkan transfusi darah. Hal ini disebabkan, ilmu perubatan sebelum ini belum menemui antigen-antibodi sehingga sejumlah besar transfusi darah berahkhir dengan kematian. Maka, ulama’ menyimpulkan perbuatan transfusi darah membahayakan nyawa manusia. Perkembangan mutakhir meniadakan masalah ini sehingga, tidak timbul lagi incompatibility antigen-antibody yang boleh berakibat kematian. Oleh itu pertembungan pendapat ini relatif kepada zaman. Oleh sebab itu terkenal istilah ‘Fatwa berubah mengikut masa dan tempat’.
Satu contoh lagi, sebahagian Ulama’ seperti Syeikh Bin Baz dan Ibnu Utsaimin mengharamkan wanita memakai seluar kerana perintah nabi tentang larangan wanita menyerupai lelaki. Sebenarnya ‘menyerupai lelaki’ ini sangat relatif dan mesti ditafsirkan oleh budaya setempat dan bukannya universal. Misalnya, di negara Arab sendiri, jubah adalah pakaian lelaki dan perempuan. Sedangkan lelaki sahaja yang biasa pakai seluar. Oleh hal yang demikian di daerah arab, wanita yang memakai seluar sering mengundang kecurigaan setempat. Suasana ini tidak seperti di Malaysia, yang mana seluar adalah pakaian lelaki dan wanita. Wanita yang memakai seluar (sudah tentulah seluar yang tidak menampakkan bentuk tubuh) tidak mengundang kecurigaan. Di pasaraya-pasaraya, ada beza pun cutting seluar lelaki dan seluar wanita seperti halnya cutting jubah lelaki dan jubah wanita di Arab. Kesimpulannya, fatwa ini boleh apply di daerah atau wilayah-wilayah Arab tertentu sahaja dan janganlah dipaksakan di Malaysia dengan kenyataan ‘Ini pendapat dan ijtihad ulama2 muktabar’. Ulama’ atau mufti-mufti di Malaysia walaupun sangatlah tidak sehebat ulama2 di Arab, tetapi dalam urusan ini, fatwa dan ijtihad mereka lebih menepati keadaan budaya dan kondisi setempat.


Secara garis besarnya, ada pendapat-pendapat yang kelihatan bertembung, tetapi kedua-duanya lebih baik untuk diikuti relatif kepada zaman, tempat dan budaya masing-masing. Artikel ini akan bersambung dengan bahagian terakhir yang membahaskan tentang apa itu perkara furu’(cabang) dan usul (tunjang) dan ganjaran ALLAH kepada hamba yang berusaha memilih pendapat. Mudah-mudahan ALLAH merezkikan kita hidayah di jalannya. Terima kasih.

Andainya hari ini... (sebuah madah buat ibu)

Posted by sunnahmania on Friday, May 15, 2009 , under | comments (0)





Andainya hari ini..

Ku dijemput seorang pendeta,

Bertandang ke rumahnya,

Ku dipanggil sang raja,

Singgah di Istananya,

Ku dipersila seorang seniman,

Mampir ke rumahnya…


Danku diminta sang Ibu,

Hadir ke terataknya…

Pasti ku ketemu mu ibu.


Kerana padamu berkumpulnya

Hikmah nasihat,

Engkaulah bertakhta megah

di singgah sana hatiku,

Melihat wajahmu sudah cukup

menjadi penghiburku


Ibu,

padamu terkumpulnya semua kemuliaan

dari jendela naluri diri ku

anakmu ibu.


by Holyprince



Sajak ini untuk dikongsi bersama. Mengenangkan hari ibu yang berlalu 5 hari yang lepas. Ini adalah hadiah saya buat ibu... Buat dikongsi pembaca. Terima kasih

.

Pengumuman!!

Posted by sunnahmania on Thursday, May 14, 2009 , under | comments (0)





Photobucket

‘dan apabila berkata Isa anak Maryam “wahai Bani Israel, sesungguhnya aku Rasul ALLAH untuk kamu dan membenarkan apa yang termaktub dalam taurat dan MEMBERI BERITA GEMBIRA AKAN KEHADIRAN SELEPASKU INSAN YANG DIBERI NAMA AHMAD” dan apabila datang kepada mereka kebenaran mereka mengatakan ini sihir yang nyata’

(Surah As-Saff: 6)


Update kali ini kami bawakan satu perbahasan yang menarik tentang penemuan fakta-fakta tentang Nabi Junjungan kita. Ayat di atas menunjukkan bahawa Nabi Isa a.s telah memberitakan kehadiran nabi kita kepada umat sebelum ini. Lalu, pendeta-pendeta mereka merubah ayat-ayat Nabi Isa. Sungguhpun begitu masih tersisa beberapa ayat di dalam bible mereka tentang kedatangan Nabi Muhammad S.A.W. Hal ini membenarkan apa yang ada di dalam ayat ALLAH.


Selain pada itu terdapat juga beberapa fakta tentang Nabi Muhammad S.A.W dalam kitab-kitab suci agama yang lain. Mengapa hal ini boleh terjadi? Aneh tetapi benar. Jika semua kitab agama lain itu mungkin berasal dari seorang Rasul yang diutuskan kepada bangsa tersebut, lalu diselewengkan, maka tak mustahil kita dapat melihat wujudnya satu dua fakta tentang Nabi kita dalam kitab tersebut. Hal ini disebabkan antara risalah yang sama dikhabarkan kepada semua Nabi dan Rasul antara lain Tauhid kepada ALLAH, Syurga dan neraka dan kedatangan Rasul akhir zaman kepada semua kaum dan bangsa. Ini satu penemuan yang dapat meningkatkan keimanan kita kepada Nabi Muhammad S.A.W adalah Rasulullah dan Rasul akhir zaman. Sila dapatkan perbahasan hal ini dalam ‘pearl of the week’ dan update terbaru YouTube sunnahmania bertajuk ‘Muhammad according to Various World Religious Scriptures’ by Dr. Zakir Naik. Kukuhkan juga kefahaman anda dengan mengikuti ceramah khas maulidur rasul Dr. Asri yang menghurai tentang ilmu hadis.


Selamat melayari blog sunnahmania….!!

Manhaj Ahlus Sunnah dalam Memahami Hadis Rasulullah

Posted by sunnahmania on , under | comments (0)




Update ta’lim ABC kali ini menghuraikan tentang manhaj atau metodologi ahlus sunnah dalam memahami sunnah yang dapat diamalkan daripada hadis-hadis Nabi S.A.W. Ada tindakan-tindakan Nabi S.A.W bukan untuk diikuti oleh umatnya kerana baginda melaksanakannya atas ‘authority’ baginda sebagai Rasul. Mudah-mudahan ta’lim ini dapat memahamkan pendengar tentang kedudukan Nabi S.A.W di sisi umatnya.

Untuk pengetahuan pendengar juga, ta’limABC ini adalah siri ta’lim yang terakhir. Saya bukanlah ingin berterusan berkongsi ta’lim ini kerana dalam blog ini kami lebih kempen kepada ceramah-ceramah ulama’. Apa yang menjadi matlamat ta’limABC ini adalah untuk memberi pemahaman paling mendasar tentang Aqidah Islam yang benar yakni Ahlus Sunnah Wal Jama’ah. Oleh hal yang demikian diharapkan pendengar semua mendapat manfaat sepanjang mengikuti ta’lim-ta’lim ini dan saya mengharapkan sasarannya tercapai. Mungkin sesekali saya akan mengupload ta’lim-ta’lim lain seperti ‘fiqh zikir’ dan ‘syarat penerimaan ibadah’ dan sebagainya. Akan tetapi ta’lim-ta’lim ini tidaklah termasuk dalam bahagian siri ta’limABC ini.

Walaubagaimanapun, dalam sesi ta’lim saya di satu dua universiti di Jakarta ini, ta’lim ini tidaklah terhenti sampai tajuk ini. Siri ini tetap berterusan dengan kesinambungan beberapa sasaran pemahaman aqidah tentang Rasul, Al-Qur’an, Islam, Mazhab, Syahadah, Dakwah, Tarbiyyah dan seterusnya. Rakaman-rakaman ta’lim ini tidak ada dan saya tidak dapat berkongsi di sini. Namun siri-siri ta’lim yang telah di Upload sebelum ini sudah cukup mencapai sasaran insyaALLAH. Terima kasih atas dokongan para pengunjung blog selama ini. Mudah-mudahan ALLAH merezkikan kita hidayah dan taufiq dalam meniti jalan menuju pengabdian kepadaNYA yang MAHA ESA. Syukron…

Seperti biasa sila ke link mp3 yg telah disediakan untuk mendengar atau mendownload ta'lim ABC yang bertajuk " Rasullalllah rasul diantara rasul". Selamat mendengar.



Yang mana satu ek? part 3

Posted by sunnahmania on Wednesday, May 13, 2009 , under | comments (1)




FAYATTABI’UUNA AHSANAH: SATU METODOLOGI MEMILIH PENDAPAT PART III

BAB 5: MEMILIH PENDAPAT YANG LEBIH MENYELURUH PERBAHASAN DALILNYA




Para Imam dan Ulama tidaklah maksum dalam mengeluarkan satu-satu hukum dan ijtihad. Salah satu masalah dalam ketidakmaksuman ini adalah kemampuan mendapatkan semua dalil terutama daripada hadis-hadis Nabi S.A.W. yang harus dipertimbangkan dalam mengeluarkan pendapat dan hukum. Hal ini dapat terjadi disebabkan beberapa hal seperti berikut :


a) Para Imam-imam Hadis seperti Imam Bukhari dan Muslim lahir setelah kebanyakkan Imam-imam Feqah seperti Imam Hanbal, Syafi’e dan Hanafi berada di penghujung hayat mereka. Oleh hal yang demikian ‘excess’ kepada hadis-hadis Nabi secara keseluruhannya agak kurang pada zaman perkembangan mazhab-mazhab feqah. Hal ini menyebabkan ada hukum-hakam yang disimpulkan para ulama tidak mengambil kira hadis-hadis yang mungkin tidak mereka ketahui. Sedangkan hadis-hadis itu seharusnya mempengaruhi hukum-hakam yang dikeluarkan.



b)Hadis-hadis yang dianggap dhaif oleh sebahagian ulama’ boleh jadi dianggap shahih oleh ulama’-ulama’ zaman kemudian. Salah satu perkara yang menimbulkan hal ini adalah ulama’2 kemudian dapat ‘excess’ kepada kitab-kitab hadis lebih banyak daripada ulama’ kurun awal sehingga mereka dapat menemui jalur sanad yang lain yang mengangkat derajat satu-satu hadis. Apatah lagi ulama’-ulama’ kontemporari di zaman kini, dengan segala kecanggihan teknologi dan penulisan kitab-kitab hadis membolehkan mereka melihat perbahasan dalil dengan lebih menyeluruh daripada ulama’-ulama’ kurun awal. Perlu diingatkan bahawa hal ini tidak menafikan keafdhalan dan kehebatan ulama’-ulama’ terdahulu kerana mereka banyak menyumbangkan penulisan-penulisan ke arah berkembangannya ilmu agama dan pemahaman umat terhadap ayat-ayat ALLAH dan Hadis-hadis Rasullullah. Cuma, dalam beberapa hal kesimpulan hukum hakam dan pendapat agama, masing-masing ulama’ mungkin sahaja memiliki kekurangan satu-satu hadis Nabi.




c) Para Ulama’ kemudian juga tetap tidak terlepas daripada kemungkinan tidak dapat menjumpai keseluruhan dalil yang perlu dipertimbangkan untuk mengeluarkan satu-satu hukum. Hal ini disebabkan begitu banyaknya hadis Nabi S.A.W yang berjumlah jutaan dengan puluhan kitab-kitab hadis yang berjilid-jilid. Maka sebagai manusia, ada ulama’ yang dapat melihat keseluruhan dalil dan ada yang tidak. Maka, kita perlu menilai apa sahaja dalil yang mereka sandarkan dalam satu-satu pendapat dan ijtihad mereka, dan memilih siapa yang lebih menyeluruh.


Contohnya, dalam mazhab Imam Syafie, menyentuh atau tersentuh isteri atau wanita bukan mahram batal wudhu’. Hal ini disimpulkan kepada penafsiran Imam terhadap ayat ALLAH:


وَإِنْ كُنْتُمْ مَرْضَى أَوْ عَلَى سَفَرٍ أَوْ جَاءَ أَحَدٌ مِنْكُمْ مِنَ الْغَائِطِ أَوْ لَامَسْتُمُ.. ..النِّسَاءَ فَلَمْ تَجِدُوا مَاءً فَتَيَمَّمُوا

“…dan jika kamu sakit atau dalam perjalanan atau buang air atau
MENYENTUH/BERSETUBUH dengan perempuan dan kamu tidak menjumpai air maka bertayammumlah…”
(Surah An-Nisa’,4:43)


Para Imam ada yang berbeza pendapat apakah perkataan ‘لَامَسْتُمُ' bermaksud ‘sentuh’ atau ‘setubuh’. Perbezaan tafsiran ini membawa perbezaan hukum adakah batal wudhu’ ataupun tidak dalam menyentuh wanita disebabkan yang menafsirkannya dengan ‘setubuh’ sudah tentu mengatakan sentuh sahaja tidak batal wudhu’. Banyak dalil yang dibahaskan oleh kedua-dua pihak. Namun, pihak yang menafsirkan ‘setubuh’ menyatakan disana adanya hadis shahih dari Abu Daud mengatakan Nabi mencium sebahagian isterinya lalu keluar untuk menunaikan solat tanpa berwudhu’ lagi. Maka mereka menyimpulkan ayat ALLAH ini merujuk kepada ‘setubuh’ baru batal wudhu’ bukannya sentuh kerana Nabi S.A.W cium (sentuh) isterinya sebelum solat. Di sini kita dapat lihat, ada pihak yang lebih menyeluruh dalilnya daripada pihak yang lain. Saya disini cenderung mengikut pendapat yang membahaskan dalil dengan lebih menyeluruh iaitu pendapat yang mengatakan tidak batal wudhu’ menyentuh perempuan. Perlu diingatkan bahawa menyentuh wanita bukan mahram tetap HARAM berdasarkan dalil-dalil yang shahih, tetapi ia tidak membatalkan wuhdu’. Bukan semua perkara yang haram dilakukan membatalkan wudhu’. Orang yang mengambil wudhu’ lalu mengumpat dan fitnah TETAP HARAM, namun batalkan wudhu? Tak ada dalil Nabi S.A.W, maka sah solat dia. Namun dosa tetap dosa.


Bab 6: JIKA BERTEMBUNG PENDAPAT-PENDAPAT YANG DIANGGAP KUAT PERBAHASAN HUJJAHNYA PILIHLAH YANG LEBIH MEMENUHI RUH ISLAM SECARA UMUM


Di sana adanya manhaj-manhaj umum (Kefahaman-kefahaman dasar)dalam Islam yang diatur oleh para Ulama’ yang disimpulkan daripada ayat-ayat ALLAH dan Hadis-hadis Nabi S.A.W. Sesungguhnya Islam ini syumul dalam segala lapangan kehidupan. Ada tajuk khas dalam membahaskan Sistem-Sistem Umum Islam dalam 12 cabang kehidupan. Saya tak akan dapat bahaskan satu persatu di sini. Tajuk ini khusus dalam perbincangannya.

Pertembungan pendapat-pendapat yang mungkin masing-masing pihak memiliki perbincangan dan huraian yang kuat ini banyak timbul di akhir zaman disebabkan banyak perkara yang perlu ijtihad para ulama’ disebabkan perkara itu baru dan tiada dalil yang jelas dapat dijadikan sandaran. Maka para ulama’ berusaha berijtihad berpedomankan dalil dan hujjah masing-masing. Contohnya, ada sebahagian ulama’ menghalalkan ‘interest’ dalam pinjaman oleh bank kontemporari. Hujjah mereka adalah seperti berikut:
"Sekarang ini bank perlu biaya untuk elektrik, bayar pegawai, sewa bangunan dan barang-barang pejabat seperti perabot, pen dan kertas. Maka susah untuk untuk tetapkan upah bila menjalankan transaksi perbankan. Oleh sebab itu, kita tetapkan ‘upah’ apabila orang buat pinjaman dengan peratusan. Misalnya, apabila upahnya 10%, jika dia pinjam RM10,000 maka upahnya adalah RM1000. Jika dia pinjam RM100,000 maka upahnya adalah RM10,000. Maka 10% ini bukanlah riba’ tetapi upah"

Yusuf Al-Qaradhawi juga pernah menyatakan bahawa ‘Kalau dilihat pada hujjah-hujjah mereka sepertinya halal transaksi seperti ini’. Cuma Roh Islam secara umum, mengharamkan riba’ untuk mengelakkan dizalimi orang yang meminjam. Pihak yang meminjam biasanya pihak yang susah. Sungguhpun mereka mengatasnamakan 10% ini dengan ‘upah’ , hakikatnya ia tetap riba. Tetaplah seseorang harus mengembalikan duit yang dipinjamnya dengan lebihan tertentu. Saya tidak ingin membahaskan hal ini dengan terperinci. Cukup sekadar saya memberi contoh bagaimana Roh Umum Islam dalam hukum-hakam ini dapat menjadi ‘touch stone’ memilih pendapat yang lebih baik. Timbul nanti persoalan, kalau bank diharamkan untuk kenakan ‘surcharge’ ini, tutuplah bank. Saya ada jawapannya, tetapi saya tidak akan huraikan di artikel ini.


Contoh yang lain, pada kes seorang pasangan telah berzina dan wanitanya hamil, lalu lelaki tersebut mengaku silapnya dan mengahwini wanita tersebut. Ada sebahagian mazhab yang menganggap anak zina halal dinikahi dan HARAM di ‘binti’kan dengan ‘biological father’nya sedangkan mazhab yang lain mengatakan HARAM menikah dengan anak zina dan WAJIB di’binti’kan dengan ‘biological father’nya kerana ayahnya mengaku dan telah pun mengahwini ibunya. Jika kita lihat pada pertembungan ini, manakah pendapat dan ijtihad yang lebih memenuhi Roh Islam yang bersifat menutup aib orang. Sedangkan anak susuan pun haram menikah dengan ayah susuan (suami kepada ibu susunya), inikan pula ayahnya sendiri. Apa akan jadi jika anak tersebut membesar lalu melihat pada surat beranaknya ‘bin’ atau ‘binti’ Abdullah sedangkan adik-beradiknya di’bin’ atau di’binti’kan dengan nama ayahnya. Apa perasaannya. Dua pendapat tersebut memiliki hujjah yang disokong daripada hadis-hadis Nabi, namun tetap bercanggah. Maka pilihlah yang mana bersifat memenuhi Ruh Islam yang menjaga aib manusia dan kerukunan keluarga kerana pasangan tersebut telah pun insaf. Dalam hukum Islam yang sebenarnya seharusnya mereka disebat, dan dinikahkan. Namun tiada dalil yang jelas menyebut status anak zina itu disisi ayahnya. Maka para Ulama’ mengeluarkan pendapat berdasarkan dalil-dalil umum sehingga timbul percanggahan.


Saya mengharapkan pembaca dapat memahami artikel ini. Saya mengaku artikel ini agak ‘high level’. Sesiapa yang masih keliru boleh je komen atau ‘buzz’ saya jika saya online. InsyaALLAH artikel ini akan bersambung tentang memilih pendapat yang lebih mudah pengamalannya dan tentang kebenaran pendapat relatif kepada masa dan tempat masing-masing. To be continued…. Terima kasih.


Yang mana satu ek? Part 2

Posted by sunnahmania on Friday, May 08, 2009 , under | comments (0)




Assalamualaikum warahmatullah,

Alhamdulillah Allah S.W.T memberi kesempatan kepada saya kali ini untuk menyambung artikel tentang Manhaj Tarjih ini. Sebelum saya melanjutkan isi-isi penting berikutnya, perlu saya ingatkan bahawa contoh-contoh yang akan saya kemukakan bersifat mudah dan diringkas perbahasan dalilnya. Bahkan ada yang saya tidak akan sertakan nas-nas yang disandarkan para ulama’ dan hujjah-hujjah mendalam sehingga membawa perbezaan pendapat dikalangan mereka. Hal ini disebabkan saya bukanlah ingin mengetengahkan perbahasan fiqh itu tetapi ingin memahamkan tentang manhaj tarjih ini. Jika setiap contoh saya rincinkan maka akan menyusahkan pembaca kerana perhatian untuk memahami tajuk ini akan tertarik kepada memerhatikan perbahasan feqah contoh-contoh tersebut. Hal ini juga mengelakkan artikel ini terlalu panjang, banyak dan terlampau ilmiah untuk dicerna pembaca. Saya harus menegaskan hal ini kerana prinsip asal dalam memberi hujjah agama hatta contoh sekalipun sebaiknya disertakan dalil atau nas yang bersangkutan. Saya meminta ‘excuse’ dari hal ini atas tujuan yang telah saya maklumkan.Readmore!.



Fayattabi’uuna Ahsanah : Satu Kupasan Metodologi Dalam Memilih Pendapat Agama Part II


Bab 4: Jika berlaku percanggahan, pemahaman terhadap nas mesti dikembalikan selari dengan Nabi dan Para Sahabat


Sesiapa yang mengikuti ta’lim saya bertajuk “mawani’ fi ma’rifatillah” akan menyedari bahawa banyak salah faham terhadap ayat-ayat Al-Qur’an dan Hadis telah membawa umat ini berpecah-belah dalam urusan agama dan masing-masing mendabik dada bahawa dia memiliki kebenaran dan dalil. Hal ini berat jika melibatkan permasalahan aqidah. Sesungguhnya Nabi dan Para Sahabat merupakan ‘banch mark’ dalam memahami agama ini. Mereka adalah generasi terbaik dan diiktiraf sikap dan cara beragama mereka. Sila lihat video ceramah bertajuk ‘Lau kaana khairan’ yang disampaikan oleh Syeikh Abdul Hakim Amir Abdat. Firman ALLAH:


فَإِنْ آَمَنُوا بِمِثْلِ مَا آَمَنْتُمْ بِهِ فَقَدِ اهْتَدَوْا وَإِنْ تَوَلَّوْا فَإِنَّمَا هُمْ فِي شِقَاقٍ فَسَيَكْفِيكَهُمُ اللَّهُ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

“ Maka jika mereka beriman SEPERTIMANA KALIAN BERIMAN maka mereka telah mendapat hidayah. Dan jika mereka berpaling sesungguhnya mereka dalam perseteruan. Maka ALLAH mencukupkan engkau (dari mereka) dan DIA Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”
(Surah Al-Baqarah; 2:137)



‘SEPERTIMANA KALIAN’ dalam ayat di atas merujuk kepada Nabi S.A.W dan para sahabat baginda. Kerana sesungguhnya merekalah yang telah beriman ketika ayat ini turun dan ALLAH S.W.T telah mengiktiraf iman mereka sebagai neraca kepada diterimanya iman orang sesudah itu. Oleh hal yang demikian sewajarnya keimanan kita terhadap satu-satu nas mesti sama dengan pengamalan para sahabat bukannya atas keimanan palsu dan buta akibat diyakini secara jahil oleh ‘fatwa hati’ kita. Meskipun seseorang itu memiliki 1juta PhD dalam agama sekalipun jika para sahabat mengimani sesuatu yang bercanggah dengannya, maka keimanannya tertolak sama sekali. Contoh perbezaan hal akidah yang terbit dari dalil adalah hujjah golongan sufi sesat yang menganggap bahawa syarat wajib ibadah ini terhapus setelah kita memiliki keyakinan kepada ALLAH. Hal berdasarkan ayat 99 surah Al-Hijr :


وَاعْبُدْ رَبَّكَ حَتَّى يَأْتِيَكَ الْيَقِينُ
“Dan sembahlah Tuhanmu sehingga datang kepadamu KEYAKINAN”


Mereka menafsirkan secara jahil ‘keyakinan’ ini dgn lafaz umumnya sedangkan jika kita lihat nabi S.A.W telah menafsirkan dalam hadis yang shahih bahawa ‘yaqin’ itu bermaksud kematian. Jika mereka tidak mahu menerima hadis itu sekalipun, jika dilihat pada kehidupan nabi dan para sahabat adakah mereka berhenti beribadah sedangkan merekalah orang paling yakin kepada ALLAH? Maka pemahaman sebahagian sufi terhadap dalil ini apabila bercanggah dengan nas yang lain maka kita dapat melihat bahawa Nabi dan Sahabat tidak beriman dengan ayat ini dengan pemahaman seperti golongan-golongan sufi sesat.


Contoh yang masyhur dalam persoalan Feqah adalah ‘Qunut Subuh’. Dengan penuh penghormatan kepada Imam Mazhab yang Mulia, mazhab yang sedang saya anuti sekarang iaitulah Imam As-Syafie Rahimahullah, saya bawa contoh ini. Sesungguhnya saya yakin ajaran Imam Syafie berkehendakkan pengikut mazhabnya supaya jangan taqlid buta dan mengikut pendapat yang terbaik dan lebih mendekati kebenaran seperti kata-katanya yang masyhur ‘Apabila Sah sesuatu hadis maka ia adalah mazhabku’. Kita juga tidak wajar fanatik sehingga menganggap wajib mengambil semua ijtihad mazhab walaupun mazhab dan ulama’ lain telah memberi jawapan dan dalil yang lebih tepat. Antara dalil yang dianggap ‘Qunut Subuh’:

Dari Anas (bin Malik), ia berkata: "senantiasa Rasulullah s.a.w. berqunut pada shalat shubuh sehingga beliau berpisah dari dunia (wafat)". (Shahih Bukhari)

Pendapat 1 : Maksud ‘sentiasa’ di atas adalah satu perbuatan yang rutin dan ‘qunut’ bermaksud (seperti yang kebanyakkan orang melayu lakukan sekarang)

Pendapat 2 :
Maksud ‘qunut’ di atas adalah qunut nazilah (yang dikerjakan apabila hendak mendoakan keburukan atau kebaikan sesuatu kaum atau orang). ‘Sentiasa’ bermaksud sentiasa dikerjakan apabila ada tujuan mendoakan org lain dan nabi berqunut dalam solat Subuh, baginda juga qunut dalam waktu-waktu lain (seperti dinukilkan juga Imam Bukhari dalam Shahihnya).

Jika kita nilai percanggahan antara pendapat pertama dan kedua kita harus melihat adakah sahabat memahaminya seperti pendapat 1 atau 2. Sekarang kita nilai astar (perkataan sahabat) berikut:

Dari Said bin Thariq al-Asyja'I, ia berkata: "Aku pernah bertanya kepada bapakku: "Wahai Bapak! Sesungguhnya engkau pernah shalat di belakang Rasulullah s.a.w., Abu Bakar, Umar, Utsman, dan Ali. Apakah mereka itu semuanya mengerjakan qunut shubuh (terus menerus)Jawab ayahku: "Hai anakku! Itu
adalah perbuatan BID'AH (yang tidak diajarkan nabi dan diada-adakan).
(Hadis Shahih diriwayatkan Amad, Tirmidzi, Nasa'I, Ibnu Majah)


Penjelasan hadis: Jika kita lihat pada dalil ini, maka kita tahu bahawa sahabat-sahabat Nabi S.A.W yang solat belakang nabi tidak memahami qunut subuh seperti mana yang sebahagian orang fahami sekarang. Jelas bahawa jemaah sahabah tidak mengerjakan qunut subuh dalam keadaan terus menerus, apatah lagi dengan doa qunut witir yang ‘inovasikan’ oleh orang sekarang untuk dibacakan dalam qunut subuh. Pertanyaan Said juga menunjukkan kesalahfahaman ini telah berlaku sejak zaman tabi’in lagi.

Kesimpulannya, pemahaman dalil yang lebih tepat adalah tidak ada qunut subuh kerana sahabat tidak melakukannya dan merekalah lebih arif tentang tatakrama ibadah yang diajarkan nabi. Pendapat kedua didokong oleh majoriti besar ulama’. Sesungguhnya kita harus sedar bahawa para Imam dan Ulama’ tidak maksum, dan mereka beroleh pahala dalam ijtihad mereka kerana mereka telah berusaha memahami ayat-ayat ALLAH dan Rasul untuk diajarkan kepada umat. Sabda Nabi S.A.W:

“Apabila seorang hakim memberi keputusan, lalu ia berijtihad, kemudian ia benar maka baginya dua pahala, dan jika ia beri keputusan, lalu berijtihad kemudian salah, maka baginya satu pahala” [HR Bukhari dan Muslim]


Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah menjelaskan bahwa tidaklah setiap orang yang berijtihad dapat mencapai kebenaran. Tetapi selama ia berdalil dan bertaqwa kepada Allah sesuai dengan kesanggupannya, maka itulah yang Allah bebankan kepadanya. Allah tidak akan menghukumnya apabila ia salah. Ancaman dan hukuman itu baru berlaku bagi orang yang meninggalkan perintah dan melanggar larangan setelah tegak hujjah kepadanya (Sila rujuk Majmu Fatawa juz 19, hal. 213, 216, 217,227). Beliau juga mengatakan bahawa Ijtihad yang salah ini tidak boleh diikuti apabila kita mengetahui mana yang benar dan mana yang salah.
Hal yang dipermasalahkan adalah orang kemudian yang melihat percanggahan namun tetap ingin mengikut secara membabi buta (bukan selesema babi) kerana fanatik terhadap ustaz kampong mereka (yang dibandar pun sama) dan tidak ingin taat kepada perintah ALLAH dalam menyelediki perbezaan, maka merekalah yang tercela. Sesungguhnya ALLAH S.W.T telah berfirman:


وَمَنْ يُشَاقِقِ الرَّسُولَ مِنْ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُ الْهُدَى وَيَتَّبِعْ غَيْرَ سَبِيلِ الْمُؤْمِنِينَ نُوَلِّهِ مَا تَوَلَّى وَنُصْلِهِ جَهَنَّمَ وَسَاءَتْ مَصِيرًا
“Dan barang siapa yang menyanggahi Rasul setelah datang kepada mereka penjelasan dan mereka mengikut jalan selain orang-orang mukmin (para sahabat) maka kami biarkan mereka dalam kesesatan yang mereka kuasai dan mereka dihumbankan ke dalam neraka dan itulah seburuk-buruk tempat kembali” (Surah An-Nisa; 4:115)


Oleh hal yang demikian telitilah pendapat mana yang berdasarkan pemahaman dalil yang selari dengan apa yang Nabi S.A.W ajarkan, yang difahami oleh generasi sahabat dan diamalkan oleh generasri salafus soleh. Nantikan part III yg akan menghuraikan tentang memilih dalil yang menyeluruh dan pendapat yang lebih memenuhi ruh umum Islam. To be continued…Syukron
.